
Fadillah dalam kenyataan berkata di bawah rancangan PH, caj atau tol akan terus dikutip walaupun selepas pemegang konsesi telah dikembalikan kepada kerajaan, seperti yang diumumkan oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng pada 2019.
PH telah memasukkan isu pemansuhan tol dalam manifesto pilihan raya umum ke-14.
Bagaimanapun, katanya, apabila PH memerintah, kerajaan sebaliknya mencadangkan rancangan untuk menjadikan lebuh raya bebas tol selama 16 jam sehari dan memberi diskaun 30% untuk baki lapan jam kerana kekangan kewangan kerajaan.
Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata kadar tol Lebuhraya KESAS, SMART, SPRINT dan LDP tidak dinaikkan dan kekal hingga tamat tempoh konsesi.
Ismail dalam kenyataan memaklumkan, keputusan tiada kenaikan kadar tol berkenaan dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.
Fadillah juga berkata berdasarkan cadangan terkini, kerajaan telah membuat penstrukturan semula tol bagi memastikan tiada kenaikan dan dalam masa sama tanpa perlu membayar pampasan tunai kepada syarikat konsesi.
Beliau juga berkata tiada lagi pemegang saham yang mana ia dilaksanakan secara sukarela oleh pemegang saham sedia ada.
Katanya, oleh kerana tiada pemegang saham, maka tiada elemen komersial seperti bayaran dividen yang akan meningkatkan kos.
Fadillah juga berkata penstrukturan tol bukan dasar PH kerana inisiatif itu sudah dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) sejak 2002 untuk mengurangkan beban hidup rakyat.
Beliau berkata BN telah memulakan inisiatif berhubung isu berkaitan tol sejak tahun 2002, manakala PH menjadi kerajaan pada 2018 iaitu 16 tahun selepas itu.
“Sejak 2002 kerajaan BN telah membuat keputusan supaya KKR bersama agensi kerajaan lain yang berkaitan berunding dengan syarikat-syarikat konsesi lebuh raya bagi penstrukturan semula kadar tol lebuh raya-lebuh raya utama di negara ini.
“Penstrukturan merupakan suatu inisiatif berterusan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar tol yang tinggi,” katanya.