
Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, proses permohonan dan kelulusan menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) belum berjalan lancar.
Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata, pembekuan pengambilan pekerja asing dikenakan pada 2020 dan 2021 bagi menangani pandemik Covid-19 dan penutupan sempadan negara memberi kesan buruk kepada banyak perniagaan.
Katanya, walaupun pengumuman kerajaan menarik semula sekatan bulan lalu, proses permohonan dan kelulusan menerusi Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) belum berjalan lancar.
“MEF bimbang hanya 2,605 permohonan diluluskan dalam sektor pembuatan dan perladangan selepas dua bulan kerajaan membuka permohonan.
“Selain itu, walaupun majikan cuba sedaya mungkin menyelesaikan masalah kekurangan buruh, terutama membabitkan pekerja asing, kadar kelulusan 0.55% daripada sejumlah 475,678 permohonan yang dihantar mencetuskan kebimbangan besar kerana ia boleh menjejaskan usaha sektor perniagaan untuk segera pulih.
“MEF juga bimbang kekurangan ini akan turut memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2022 pada kadar 5.3% hingga 6.3% seperti diunjurkan oleh Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pakej rangsangan perlu diteruskan bagi membantu membina semula keyakinan perniagaan yang memerlukan lebih banyak masa untuk pulih.
Syed Hussain turut menggesa kerajaan mengadakan perbincangan dan rundingan dengan negara sumber bertujuan mengawal dan menetapkan bayaran pengambilan yang dikenakan oleh ejen.
“Selain faktor kos tinggi yang perlu dikurangkan, MEF berharap tempoh yang diperlukan oleh pekerja asing untuk tiba ke Malaysia dapat dipendekkan.
“Dianggarkan bawah proses biasa permohonan pekerja asing baharu, ia mungkin mengambil masa hingga enam bulan sebelum mereka boleh mula bekerja,” katanya.