
Bagaimanapun, penyelia tapak projek pembaikan lereng bukit di Jalan Taman Melawati 3 yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul menjelaskan, khemah sementara itu bukan penempatan pekerja asing, sebaliknya hanya untuk mereka berehat.
Katanya, pekerja akan pulang ke rumah masing-masing selepas tamat waktu kerja.
Beliau berkata, isu itu timbul mungkin kerana tiada komunikasi antara wakil penduduk dan pihaknya telah mendapat persetujuan Jabatan Tenaga Kerja serta penduduk yang memberi tempoh seminggu untuk menyelesaikan projek pembaikan lereng bukit itu.
“Khemah itu hanya sementara sahaja bagi pekerja asing berehat, bukan penempatan tetap,” katanya ketika ditemui FMT.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati, Azhari Taharim tidak berpuas hati dengan tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sekadar mengarahkan kontraktor memindahkan khemah sementara itu.
Beliau menyarankan MPAJ mengarahkan kontraktor menawarkan khemah yang selamat untuk pekerja asing berehat dan melakukan pemantauan bagi mengelakkan majikan mengambil kesempatan ke atas kebajikan pekerja.
“Kami daripada wakil penduduk telah berjumpa kontraktor dan mereka mengakui kesalahan itu serta minta diberikan tempoh untuk menyelesaikan isu itu.”
Seorang penduduk yang enggan dinamakan berkata, beliau membuat aduan itu kerana bersimpati dengan keadaan khemah dibina menggunakan kanvas dan papan, yang kelihatan daif dan tidak selamat.
“Keadaan khemah tersebut lebih teruk daripada tandas mudah alih, saya berasa kesian dengan pekerja asing berkenaan kerana persekitaran kawasan itu sangat bahaya.”