Bicara 1MDB: Juri mahu semak keterangan isteri Ng

Bicara 1MDB: Juri mahu semak keterangan isteri Ng

Lim Hwee Bin sebelum ini berkata, kemasukan modal USD35.1 juta ke dalam syarikat samaran dikawalnya adalah daripada transaksi perniagaan tidak berkaitan yang sah, bukan sogokan untuk suaminya.

Lakaran dalam kamar mahkamah yang menggambarkan Tim Leissner menunjuk kepada Roger Ng semasa perbicaraan. (Gambar Reuters)
NEW YORK:
Juri dalam kes konspirasi 1MDB membabitkan bekas pegawai bank Goldman Sachs Roger Ng meminta untuk menyemak keterangan daripada isterinya yang dikatakan oleh pihak pembelaan penting bagi kes itu.

Selepas tujuh minggu keterangan diberikan di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York, juri yang akan memutuskan nasib bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs Group Inc. di Malaysia itu membuat permintaan tersebut sejurus selepas mereka memulakan perbincangan petang semalam.

Minggu lepas, isteri Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan bagi pihaknya bahawa kemasukan modal USD35.1 juta ke dalam syarikat samaran yang dikawalnya bukan sogokan untuk suaminya berkait skim 1MDB, tetapi adalah daripada transaksi perniagaan sah yang tidak berkaitan.

Ng dituduh bersubahat melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan terbabit dengan pengubahan wang haram dalam komplot untuk menggelapkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Ng adalah satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan dalam kes yang menyaksikan firma itu membayar lebih USD5 bilion penalti global dan unit Malaysianya mengaku bersalah – antara tamparan terbesar bagi Goldman dalam sejarahnya.

Pendakwa menuduhnya sebagai individu penting dalam skim pembayaran rasuah dan pengubahan wang haram yang didalangi ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang menyaksikan USD2.7 bilion diseleweng daripada dana itu. Goldman mengatur urus niaga bon untuk 1MDB.

Perbicaraan tersebut, yang bermula dengan pernyataan pembukaan pada 14 Feb, menampilkan bekas bos Ng, Tim Leissner, sebagai saksi utama kerajaan. Leissner mengaku bersalah dan bekerjasama dengan AS, sekali gus membolehkan hukumannya diringankan.

Low meraih sekurang-kurangnya USD1.42 bilion daripada penipuan itu dan dia membayar Ng USD35.1 juta sebagai sogokan, manakala Leissner menerima lebih USD60 juta, menurut AS.

Ng, 49, berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan atas semua tuduhan.

Leissner, iaitu pengerusi Goldman Asia Tenggara, adalah pegawai Goldman berpangkat tertinggi yang mengaku bersalah dalam skim menyeleweng dana 1MDB.

Low, yang dikatakan AS merasuah pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi untuk mendapatkan perniagaan bagi Goldman, masih bebas.

Bekas perdana menteri Najib Razak disabitkan di Malaysia pada 2020 atas tuduhan termasuk pengubahan wang haram dan rasuah membabitkan dana SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun. Dia telah mengemukakan rayuan.

Juri menyambung perbincangan pada pagi Rabu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.