4 lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh Seri Kembangan

4 lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh Seri Kembangan

Semua suspek mengaku terbabit kes bunuh itu dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati yang menimbulkan dendam.

Ahad lalu media melaporkan seorang lelaki ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam di depan kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.
KUALA LUMPUR:
Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh membabitkan seorang lelaki di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, Selangor, Ahad lalu.

Ketua Polis Serdang, A A Anbalagan, berkata mereka ditahan di tepi Jalan Songket, Taman Maznah, dekat Klang, pagi tadi.

“Semakan mendapati semua suspek berusia lingkungan 30 dan 40-an berasal dari Seri Kembangan dan mempunyai rekod jenayah dengan seorang daripadanya turut mempunyai rekod melibatkan kes narkotik.

“Hasil siasatan awal mendapati semua suspek mengaku terbabit dalam kes berkenaan dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat rasa tidak puas hati yang menimbulkan dendam,” katanya dalam kenyataan.

Ahad lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan mati dengan kesan tetakan di muka, leher dan tangan dipercayai dibunuh menggunakan senjata tajam, 5.56 pagi di depan kedai makan di Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan.

Anbalagan berkata, susulan penahanan suspek, polis turut merampas Proton Wira Aeroback warna kelabu yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dipercayai digunakan semasa kejadian itu.

Beliau berkata, semua mereka negatif dadah, direman hingga 12 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.