
Namun peguam Ng, bekas pegawai bank pelaburan terkemuka Goldman di Malaysia, menyangkal bahawa dia dilibatkan secara salah dalam penyelewengan itu oleh bekas bosnya, Tim Leissner, iaitu saksi utama kerajaan.
Ng, 49, mengaku tidak bersalah bersubahat melakukan pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah.
Pendakwa raya berkata, dia membantu Leissner menggelapkan beratus juta dolar, membersihkan hasil itu dan menyogok pegawai untuk mendapatkan urus niaga bagi Goldman.
Penolong Peguam AS Alixandra Smith berkata, Ng menerima lebih USD$35 juta daripada rancangan pengubahan wang haram dan sogokan yang “berani” dan harus dipertanggungjawabkan.
“Kemudaratan yang dialami oleh rakyat Malaysia amat tidak terkira sekali,” katanya kepada juri.
“Ia amat tidak adil kepada orang lain yang patuh kepada peraturan.”
Ketika hujah penutupnya, peguam Ng, Marc Agnifilo berkata, “tidak ada bukti” menunjukkan anak guamnya bersalah.
Sebaliknya, Agnifilo menyalahkan Leissner, 52, yang mengaku bersalah atas tuduhan sama seperti Ng, dengan pihak pembelaan percaya bahawa dia bekerjasama dengan pendakwa raya dengan harapan untuk dikenakan hukuman lebih ringan.
“Dia tidak pernah berhenti berbohong, dan dia tidak berhenti berbohong di bilik mahkamah ini,” kata Agnifilo, merujuk kepada Leissner.
Perbicaraan hampir dua bulan itu berpunca daripada salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah.
Pendakwa raya berkata, Goldman membantu mengumpul USD6.5 bilion untuk 1MDB melalui tiga urus niaga bon, tetapi USD4.5 bilion telah dialihkan kepada pegawai kerajaan, pegawai bank dan rakan sekutu mereka menerusi sogokan dan rasuah.
Ng adalah individu pertama dan satu-satunya individu yang dibicarakan di AS berhubung kes itu. Pada 2020 Goldman membayar denda berjumlah hampir USD3 bilion dan unitnya di Malaysia bersetuju untuk mengaku bersalah.
Agnifilo berkata, Ng memperkenalkan Leissner kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang disyaki menjadi dalang rancangan itu.
Smith mengakui bahawa Leissner cuba mendapatkan kelonggaran dengan memberi keterangan tetapi keterangan lain menyokong ceritanya.
“Apa yang dia beritahu anda mengenai jenayah yang dilakukan bersama defendan dan yang lain adalah disokong dan konsisten dengan keterangan lain,” katanya. “Anda sudah tahu defendan bersalah berdasarkan keterangan lain.”
Dalam keterangannya, Leissner berkata, dia memberikan wang sogokan berjumlah USD35 juta kepada Ng untuk bersetuju memberitahu “cerita rekaan” kepada bank yang memproses pemindahan itu bahawa wang terbabit adalah daripada usaha sama perniagaan yang sah antara isteri mereka.
Isteri Ng, Lim Hwee Bin, memberi keterangan minggu lalu bahawa dia membuat pelaburan berjumlah US6 juta pada pertengahan 2000 dalam syarikat China milik isteri Leissner pada masa itu, Judy Chan.
Katanya, wang berjumlah USD35 juta yang didakwa sebagai sogokan kepada suaminya itu, sebenarnya adalah pulangan daripada pelaburan itu.
Low didakwa pada 2018 bersama Ng. Pihak berkuasa Malaysia berkata, Low berada di China, namun ia dinafikan oleh Beijing.