Ambil alih konsesi lebuh raya adalah dasar kami, kata PH

Ambil alih konsesi lebuh raya adalah dasar kami, kata PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata pengumuman perdana menteri untuk tidak menaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi adalah dasar PH yang diteruskan.

PETALING JAYA:
Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berkata, pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk tidak menaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya.

Dalam kenyataannya hari ini PH berkata, langkah itu adalah hasil kesinambungan kerajaan PH pada Oktober 2019, apabila Jemaah Menterinya memutuskan untuk memulakan proses ambil alih lebuh raya berkenaan.

“PH mengambil maklum bahawa empat lebuh raya, iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) tidak akan dinaikkan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

“Tambahan keempat-empat lebuh raya ini dilaporkan akan diambil alih oleh sebuah entiti, iaitu Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) pada nilai RM5.48 bilion. Maka apa yang diumumkan ini adalah dasar PH yang diteruskan hingga ke penghujungnya,” katanya.

Semalam, Ismail mengumumkan kadar tol Lebuhraya KESAS, SMART, SPRINT dan LDP tidak dinaikkan dan kekal hingga tamat tempoh konsesi.

Beliau memaklumkan bahawa keputusan tiada kenaikan kadar tol berkenaan dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.

Menurutnya, ia juga dapat menjimatkan bayaran pampasan dari 1 Jan 2022 sehingga tamat tempoh konsesi.

“Penjimatan bersih bagi pembayaran subsidi tol untuk keempat-empat lebuh raya tersebut adalah dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion,” katanya.

Selain itu, Majlis Presiden PH yang dianggotai Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO), berkata, langkah itu membuktikan mereka mampu melaksanakan pelbagai dasar yang boleh membantu meringankan beban rakyat sekiranya Langkah Sheraton tidak berlaku dan PH terus mentadbir.

Malah katanya, PH juga telah merancang mengenai pemberian diskaun sebanyak 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya terbabit.

“Kami menggesa kerajaan supaya memberi diskaun tambahan kepada pengguna di empat lebuh raya ini, serta memberi penjelasan penuh di Parlimen berhubung hak milik ALR, terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan ALR,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.