
“Saya juga meminta Fahmi berbincang dengan pihak media berkaitan liputan penganjuran debat yang bagi saya harus disiarkan secara meluas,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu di Facebook.
Sebelum ini, Anwar menyatakan kesediaannya untuk berdepan dan berdebat dengan Najib mengenai isu kewangan SEB yang merupakan syarikat perkhidmatan pelantar minyak bersepadu Malaysia.
Kenyataan itu dibuat selepas Najib dilaporkan berkata, beliau bersedia menerima cabaran debat daripada Rafizi Ramli namun ia perlu turut melibatkan Anwar selaku presiden PKR.
Semalam, Najib dalam catatan di Facebook mengalu-alukan perdebatan dan meminta pasukan Anwar serta Rafizi mengaturkan dengan media jika berhasrat mahu diadakan secara langsung.
Najib turut mencadangkan supaya Anwar menghubungi pembantunya untuk mencari tarikh terdekat yang sesuai.
“Game on. Saya setuju debat dengan Anwar. ‘Let’s rock’,” kata Najib.