
Kejadian membabitkan lima rumah termasuk bengkel mini itu dipercayai berlaku ketika mangsa sedang sibuk menyediakan juadah untuk berbuka puasa, kira-kira jam 7.10 malam.
Menurut seorang mangsa, Mohd Zulhairi Adib Zuhaimi, 19, ketika itu dia sedang memanaskan lauk di dapur sebelum terasa bahang api secara tiba-tiba.
“Saya membuka tingkap dapur dan terkejut melihat api yang sedang marak di rumah belakang dan pada masa yang sama, api merebak ke bahagian bumbung rumah kami.
“Saya segera menjerit kepada abang, adik serta anak saudara di ruang tamu memberitahu mengenai kebakaran itu sebelum masing-masing bergegas mencapai apa sahaja barangan yang sempat dicapai untuk diselamatkan,” katanya lapor Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.15 malam.
Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota daripada BBP Tumpat, Pengkalan Kubor serta Wakaf Bharu bergegas ke lokasi dan sebaik tiba api sedang marak.
“Kebakaran dapat dikawal jam 7.50 malam dan punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.