
Louise Goss-Custard dan Thomas Arnold Schmidt, yang memiliki banglo dibina pada 1935 di Chow Thye Road berkata, projek mega itu mendatangkan risiko serius terhadap rumah mereka dan penghuni lain kerana strukturnya tidak mempunyai tapak.
Mereka berkata, kawasan itu mudah mendap sekiranya berlaku pembangunan.
Syarikat milik kerajaan negeri mencadangkan pembinaan pangsapuri servis 23 tingkat dan bangunan kondominium 30 tingkat. Pembinaan melibatkan 558 ruang pejabat dan unit kediaman serta ruang niaga 10 tingkat turut dicadang.
Goss-Custard dan Schmidt telah memfailkan saman pemula meminta Mahkamah Tinggi memerintahkan supaya kajian kebolehlaksanaan, termasuk laporan impak alam sekitar, lalu lintas dan sosial, didedahkan kepada umum.
Mereka juga memohon perintah untuk memaksa pemaju mendedahkan kajian yang telah dijalankan.
Pasangan itu menamakan Ketua Menteri Chow Kon Yeow, PDC Properties Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan kerajaan negeri sebagai responden.
Goss-Custard berkata, projek itu akan mengubah secara drastik ciri-ciri dan keaslian kawasan itu yang menempatkan kediaman warisan yang mengelilingi Victoria Green.
Dalam afidavit sokongan, dia berkata, wujud kebimbangan mengenai kerosakan rumahnya serta orang lain di sepanjang jalan itu termasuk kesan ke atas lalu lintas, pencemaran dan nilai harta benda sebaik “struktur gergasi” itu dibina.
Menurutnya, pemaju enggan mendedahkan laporan walaupun permintaan telah dibuat menerusi peguamnya.
Katanya juga, terdapat konflik kepentingan apabila ketua menteri dan pemimpin kerajaan negeri adalah pengarah dalam Penang Development Corporation, yang memiliki syarikat pemaju terbabit.
Tambahnya lagi, kepimpinan tertinggi majlis bandaraya itu dipilih oleh kerajaan negeri dan mungkin mengikut arahan daripada negeri.