
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Muhyiddin berkata beliau didatangi pemimpin beberapa parti termasuk Pejuang selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor tamat.
“Pertemuan saya dengan Tun Dr Mahathir yang diatur selepas seorang pemimpin kanan parti Pejuang datang menemui saya adalah sebahagian daripada inisiatif ini,” katanya.
Menerusi PRN di Melaka dan Johor, Barisan Nasional (BN) menang majoriti dua pertiga meskipun meraih kurang daripada 50% undi popular.
Menurut Muhyiddin, parti-parti politik itu berpandangan bahawa lebih baik agar parti di luar BN untuk bekerjasama dalam PRU15 bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru.
“Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional (BN) yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi. Tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.
“Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat,” kata Muhyiddin.
Ujarnya, usaha membentuk kerjasama dalam PRU15 juga bertujuan untuk menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa seperti mana yang pernah diulas oleh beberapa penganalisis politik.
Sehubungan itu, beliau mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti-parti politik dalam kerajaan dan pembangkang untuk merintis hubungan kerjasama dalam PRU akan datang.
Terdahulu, Muhyiddin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Mahathir bagi mengemukakan cadangan gabungan parti pada PRU15.
Presiden Pejuang Mukhriz berkata, pertemuan antara presiden Bersatu dan pengerusi Pejuang itu berlangsung sekitar dua minggu lalu selepas PRN Johor.
Awal hari ini, Presiden Warisan, Shafie Apdal pula mendedahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu ada menghubunginya untuk membentuk kerjasama politik selepas rundingan dengan Mahathir gagal.
Bagaimanapun, beliau mengakui sudah memberikan kata putus untuk menolak permintaan tersebut selepas apa yang berlaku sebelum ini.