
Beberapa penganalisis yang ditemu bual FMT menyebut perpecahan dalam kalangan parti pembangkang Sarawak dan menyatakan keraguan sama ada Warisan akan menyertai pakatan sedemikian.
Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Wong Soon Koh baru-baru ini mendakwa, Warisan secara dasarnya bersetuju untuk bekerjasama dengan partinya untuk menubuhkan Perikatan Borneo, walaupun Naib Presiden Warisan Junz Wong enggan mengesahkan mahupun menafikan perkara ini.
Felo Majlis Profesor Jeniri Amir percaya bahawa niat di sebalik penubuhan pakatan ini adalah murni tetapi berkata, ia akan sukar bertapak disebabkan sifat politik pembangkang Sarawak yang berantakan.
“Kita dapat lihat dengan jelas mereka malah bergelut untuk bekerjasama dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak baru-baru ini,” katanya kepada FMT.
“Mereka bersaing sesama sendiri untuk menunjukkan siapa lebih kuat, namun akhirnya, ini hanya mengakibatkan berlakunya pertembungan banyak penjuru yang menjatuhkan mereka.”
Pakatan Harapan (PH) hanya mampu memenangi dua kerusi dalam PRN tersebut pada Disember, selepas mengambil 10 kerusi pada PRN 2016.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memerintah memenangi 76 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PSB memperoleh empat kerusi.
Seramai 347 calon dan 10 parti bertanding pada PRN Disember lepas, yang menyaksikan PSB dan PH bertembung sesama sendiri dan dengan Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) serta Parti Aspirasi Rakyat Sarawak, antara lainnya.
Menurut Jeniri, mengajak Warisan menyertai pakatan itu boleh menarik parti lain untuk turut serta, tetapi katanya, parti yang berpangkalan di Sabah itu tidak akan memperoleh sebarang keuntungan dengan menyertainya kerana matlamat utama PSB adalah untuk benar-benar menyatukan semua parti pembangkang Sarawak menentang GPS.
Penganalisis sosiopolitik Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya percaya Warisan lebih berminat untuk meluaskan pengaruhnya di peringkat nasional.
“Menyertai Perikatan Borneo bermakna Warisan dan Presidennya Shafie Apdal akan dilihat masih berpusatkan Borneo dan tidak selaras dengan langkah mereka sebagai parti peringkat nasional,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, akan timbul isu mengenai pemimpin tertinggi pakatan itu kerana penyokong Warisan mahu Shafie, yang pernah disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri, untuk menerajuinya. Ini akan menjauhkan Wong, katanya, yang dilihat mahukan jawatan itu.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Lee Kuok Tiung berkata, blok pembangkang Borneo akan menjadi menarik tetapi dilema terbesarnya adalah sama ada untuk memasukkan atau menjauhkan parti pembangkang peringkat nasional seperti PKR dan DAP.
Beliau berkata, pakatan itu juga perlu memberi justifikasi kepada pengundi bagaimana ia boleh menjadi alternatif yang lebih baik berbanding GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam usaha menuntut hak negeri daripada kerajaan persekutuan.
Tambahnya, keputusan Ahli Parlimen Sri Aman Masir Kujat baru-baru ini untuk keluar daripada PSB dan menyokong kerajaan semasa akan menjejaskan kredibiliti bekas partinya sebagai kuasa peneraju dalam pakatan yang dicadangkan itu.