RM6 juta bantuan tunai di P Pinang tidak dituntut

RM6 juta bantuan tunai di P Pinang tidak dituntut

Seramai 33,288 pemohon layak mendapat bantuan tunai RM100 atau RM200, tetapi pemindahan elektronik gagal dilakukan kerana maklumat bank yang salah.

Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, penerima yang layak kini diberi tempoh seminggu sehingga 7 April ini untuk mengemas kini akaun bank mereka secara dalam talian atau di pejabat ADUN berdekatan. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Lebih RM6 juta bantuan tunai kerajaan Pulau Pinang untuk warga emas, ibu tunggal dan suri rumah belum dituntut.

Exco negeri, Phee Boon Poh berkata, seramai 33,288 pemohon layak menerima bantuan itu, tetapi ia gagal dibayar melalui pemindahan elektronik akibat nombor akaun bank yang salah, akaun tidak aktif atau ditutup.

Sebelum ini, bantuan itu dibayar secara tunai melalui pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tetapi kerajaan negeri beralih kepada pemindahan dana elektronik pada 2020 akibat perintah kawalan pergerakan Covid-19.

Phee berkata, pihak berkaitan berulang kali cuba memaklumkan penerima melalui panggilan telefon, pesanan teks atau media sosial.

“Kami kini memberi tempoh seminggu sehingga 7 April ini kepada penerima ini untuk mengemas kini akaun bank mereka secara dalam talian atau di pejabat ADUN berdekatan.

“Mereka yang belum menerima bayaran pada 2020 dan 2021 boleh membuat rayuan dan kami akan mempertimbangkan bayaran bantuan untuk dua tahun itu.

“Jika penerima ini tidak mengemas kini butiran mereka, kami tidak akan membawa ke hadapan wang tidak dituntut dari tahun-tahun sebelumnya dan mengeluarkan nama mereka daripada senarai selama-lamanya. ”

Phee berkata, hampir RM49 juta dibayar awal tahun ini kepada 230,062 penerima yang layak di bawah program i-Sejahtera Pulau Pinang.

Katanya, seramai 28,474 warga emas belum menuntut bantuan RM200 untuk tahun ini, manakala 3,802 suri rumah dan 1,012 ibu tunggal belum menuntut bantuan RM100 mereka.

Program itu adalah bantuan tunai tahunan buat warga emas, orang kurang upaya, ibu tunggal dan kanak-kanak di bawah dua tahun. Penerima atau penjaga perlu menjadi pengundi berdaftar di Pulau Pinang.

Mereka yang layak boleh mengemas kini butiran atau mendaftar untuk program itu di https://isejahtera.penang.gov.my/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.