Masih ramai dijatuhi hukuman mati walaupun hakim ada kuasa budi bicara, kata NGO

Masih ramai dijatuhi hukuman mati walaupun hakim ada kuasa budi bicara, kata NGO

Kuasa budi bicara diberikan kepada hakim tidak sepenuhnya berkesan disebabkan cara undang-undang dirangka dan ditafsirkan, kata penyelaras eksekutif ADPAN Dobby Chew.

Menurut Akta Dadah Berbahaya, mahkamah hanya boleh menggunakan kuasa budi bicara jika sekurang-kurangnya dua syarat dipenuhi. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Ramai pengedar dadah masih dijatuhi hukuman mati walaupun terdapat pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 2017 yang memberi hakim kuasa budi bicara sepenuhnya dalam menjatuhkan hukuman, kata Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN).

Penyelaras eksekutif ADPAN Dobby Chew memberitahu FMT, kuasa budi bicara yang diberikan kepada hakim tidak sepenuhnya berkesan disebabkan cara undang-undang dirangka dan ditafsirkan.

Sebelum ini, hukuman mati adalah mandatori bagi kesalahan tersebut.

Chew berkata, pindaan itu sepatutnya menjadi pengubah keadaan, tetapi menurut jawapan bertulis di Parlimen pada Disember 2021, hanya dua daripada 71 individu yang dijatuhi hukuman mati kerana pindaan itu membolehkan hukuman mereka diringankan kepada penjara seumur hidup.

Beliau menggesa perubahan dalam prosedur dilakukan dan hukuman mati dijatuhkan hanya dalam kes paling serius.

Menurut akta tersebut, mahkamah hanya boleh menggunakan kuasa budi bicara jika sekurang-kurangnya dua syarat dipenuhi.

Syarat pertama adalah pesalah mesti memberikan bantuan kepada pihak berkuasa.

Syarat kedua boleh jadi sama ada kekurangan bahan bukti berhubung pengedaran dadah pada masa tangkapan, penglibatan ejen provokator atau jika pesalah hanya terlibat mengangkut dadah.

“Dalam sesetengah kes, ia (syarat pertama) ditafsirkan sebagai memerlukan sijil atau surat daripada mahkamah mengiktiraf bantuan yang diberikan, iaitu syarat yang digugurkan daripada draf pindaan oleh Parlimen,” kata Chew.

“Terdapat kes yang menyaksikan tertuduh memberi maklumat yang membawa kepada penahanan pengedar dadah di luar negara dan senario yang melibatkan tertuduh memberi maklumat lokasi dadah disimpan selepas mereka ditangkap tetapi ia bukan bantuan.”

Beliau berkata, apakah yang dimaksudkan dengan bantuan belum ditakrifkan dengan sempurna dan masih diuruskan oleh mahkamah mengikut kes.

Chew berkata, faktor mitigasi perlu diambil kira semasa menjatuhkan hukuman ke atas pengedar dadah kerana setiap kes mempunyai set dinamik dan kompleksnya sendiri.

Beliau berkata, jika Putrajaya menentang pemansuhan hukuman mati, maka ia sekurang-kurangnya perlu memperbaharui undang-undang supaya selaras dengan norma antarabangsa dengan hukuman mati hanya terpakai untuk jenayah paling serius.

“Selain pembaharuan undang-undang, kerajaan perlu melihat kepada rombakan dan orientasi semula strategi negara dalam memerangi penyeludupan dan penggunaan dadah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.