Malaysia jangka tarik 2 juta pelancong asing, jana RM8.6 bilion pendapatan

Malaysia jangka tarik 2 juta pelancong asing, jana RM8.6 bilion pendapatan

Nancy Shukri berkata, pembukaan semula sempadan Malaysia hari ini akan membawa pemulihan besar bagi industri pelancongan.

Nancy Shukri (dua dari kanan) menyambut ketibaan pelancong dari Abu Dhabi, Qatar di KLIA pada hari pertama Malaysia membuka sempadan negara kepada pengembara antarabangsa. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Malaysia dijangka menarik dua juta pelancong antarabangsa tahun ini dengan unjuran RM8.6 bilion pendapatan pelancongan berikutan pembukaan semula sempadan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri.

Beliau berkata, pembukaan semula sempadan Malaysia hari ini akan membawa pemulihan besar kepada industri pelancongan.

“Kita menunggu dengan sabar untuk saat ini. Ini seperti Hari Raya kita,” katanya semasa mengalu-alukan ketibaan 220 penumpang pesawat Etihad Airways dari Abu Dhabi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, hari ini.

Penerbangan EY418 itu yang mendarat di KLIA pada 10.14 pagi tadi diberikan sambutan tradisi semburan air.

Nancy berkata, terdapat kira-kira 100 penerbangan dijadualkan tiba di lapangan terbang Malaysia hari ini yang membawa lebih 10,000 penumpang, termasuk pelawat asing, dengan 80 daripadanya melalui KLIA dan klia2.

“Industri teruja untuk mengalu-alukan pengunjung sekali lagi selepas aktiviti pelancongan sunyi sejak dua tahun lepas,” katanya dengan menambah bahawa mereka telah bersiap sedia, terutamanya pengendali inap desa dan ekopelancongan di kawasan luar bandar.

Nancy berharap pemain industri akan menggunakan kebijaksanaan digital untuk mempromosi produk masing-masing kerana trend pelancong kini lebih cenderung melancong dalam kumpulan kecil dan keluarga.

Beliau berkata, pelbagai program pelancongan juga disusun untuk tahun ini seperti majlis iftar bagi menonjolkan adat budaya Malaysia dan produk pelancongan seperti tempat hiburan dan membeli-belah di Genting Highlands dan Cameron Highlands serta percutian di pulau yang mendapat permintaan memberangsangkan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen, Zakaria Shaaban berkata, fasiliti di 183 pintu masuk negara bersiap siaga menerima ketibaan pengembara dengan kaunter manual diaktifkan 50%, manakala “auto gate” aktif 100%.

“Pihak imigresen bersedia membuka lebih banyak kaunter manual bergantung kepada keperluan. Setakat ini, kaunter sedia ada mampu menampung ketibaan pengembara tanpa berlaku apa-apa kesesakan.”

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Iskandar Mizal Mahmood berkata, pihaknya membuat persediaan rapi sejak sebulan lalu dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan proses ketibaan serta waktu menunggu untuk pengembara ringkas dan cepat.

Beliau berkata, sukarelawan dan pasukan petugas MAHB digerakkan ke kawasan lapangan terbang untuk membantu pengembara, terutamanya dari segi penggunaan aplikasi MySejahtera untuk tempoh dua minggu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.