
Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Ma’arof berkata, pertuduhan akan dibuat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika disabit kesalahan tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Kertas siasatan yang telah dikemas kini dirujuk ke Putrajaya dan mendapat arahan tuduh dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan suspek telah dibawa ke Mahkamah Seremban untuk menjalani pertuduhan,” katanya dalam kenyataan.
Media sebelum ini melaporkan mangsa meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal dalam van di Taman Nusari Bayu, 2, Sendayan, Negeri Sembilan, dalam kejadian pada petang 12 Okt itu.
Mangsa menaiki van terbabit untuk ke sebuah pusat jagaan harian di Taman Nusari Aman, namun pemandu pulang ke rumah tanpa menyedari kanak-kanak itu masih berada dalam van tersebut.
Pemandu berusia 34 tahun itu dipercayai tidak menyedari mangsa masih berada dalam van dari 2.30 petang.
Beliau berkata, tiga jam kemudian, mangsa ditemui tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.