
Raja Kamarul Bahrin Shah yang merupakan timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dari 2018 hingga 2020 berkata, campur tangan serius daripada kerajaan diperlukan untuk menangani situasi terbabit.
“Keadaan hanya boleh bertambah baik sekiranya pemaju sanggup menurunkan harga hartanah yang tidak terjual melalui insentif cukai daripada kerajaan,” katanya kepada FMT.
Raja Kamarul berkata, kerajaan mesti menggubal dasar baharu yang “agresif” dan kreatif untuk memastikan lebih banyak rumah mampu milik dibina untuk kehidupan dalam bandar, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sebagai contoh, pemaju yang menurunkan harga hartanah tidak terjual boleh diberikan pengecualian cukai untuk pembangunan akan datang bagi meringankan beban ke atas dana mereka yang mungkin terikat akibat unit hartanah tidak terjual,” katanya.
Katanya, kerajaan juga harus mengarahkan institusi kewangan supaya lebih fleksibel dalam memberi pinjaman perumahan bagi menyediakan akses kewangan lebih baik kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) mentakrifkan terma “tidak terjual” sebagai unit kediaman yang telah menerima sijil siap dan pematuhan (CCC) tetapi kekal tidak terjual selama lebih sembilan bulan selepas pelancaran.
Menurut NAPIC, suku ketiga 2021 menyaksikan lebih 18,000 unit rumah bertingkat tinggi tidak terjual dan menjadi sebahagian besar daripada hartanah tidak terjual. Angka juga menunjukkan sehingga 75% hartanah tidak terjual berharga antara RM300,000 dan RM1 juta.
Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) Chan Ai Cheng berkata, pemaju yang memegang hartanah tidak terjual juga berdepan masalah aliran tunai.
“Masalah hartanah tidak terjual secara khusus memberi kesan kepada pemaju projek yang memegang semua unit yang tidak terjual ini dan keperluan untuk menyelenggaranya menjejaskan aliran tunai mereka,” katanya.
Katanya, bilangan unit tidak terjual yang tinggi mungkin memberi gambaran kurang tepat mengenai keadaan pasaran menyebabkan lebih ramai pembeli rumah berpotensi untuk mengurangkan perbelanjaan.
“Ironinya, ia tidak menggambarkan keadaan pasaran sama sekali. Ia mungkin disebabkan hartanah itu berada di lokasi yang salah, justeru, tiada pembeli,” katanya.