
Peraturan baharu itu membenarkan kedai makan dibuka 24 jam buat kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun.
Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (PRIMAS), J Suresh berkata, ahli mereka telah menantikannya sekian lama, namun mungkin tidak dapat memanfaatkannya kerana berdepan masalah kekurangan pekerja.
Beliau memberitahu FMT bahawa kebanyakan anggota PRIMAS beroperasi dengan hanya 30% daripada tenaga kerja biasa.
“Ahli kami hanya boleh beroperasi dari 7 pagi hingga 10 malam dengan tenaga kerja yang terhad,” katanya.
“Mereka telah mengemukakan permohonan pengambilan pekerja asing tetapi permohonan masih dalam proses dan belum selesai.
“Kami juga telah menyerahkan memorandum mengenai isu yang kami hadapi kepada Kementerian Sumber Manusia dan Jabatan Perdana Menteri. Masalah ini kini di tangan kerajaan untuk diselesaikan.”
Industri lain seperti sektor pembuatan dan perladangan juga berkata, masalah kekurangan pekerja asing menjejaskan operasi mereka.
Suresh menggesa kerajaan memberi pengecualian ke atas levi pekerja asing sehingga restoran pulih daripada kesan wabak itu.
“Ia akan mengambil masa beberapa tahun untuk restoran melihat keuntungan kerana mereka terpaksa menanggung pinjaman, sewa, gaji dan perbelanjaan lain sejak dua tahun lalu,” katanya.
Pengarah Devi’s Corner Bangsar Dev Ananth berkongsi kebimbangan yang sama.
“Memandangkan terdapat kekurangan kakitangan, masih sukar bagi kami untuk beroperasi 24 jam,” katanya.
“Langkah terbaik yang boleh kami lakukan ialah menggunakan sumber yang kami ada dan melihat cara untuk mengoptimumkan operasi.”
Bagaimanapun Ananth berkata, beliau bersyukur kerana kerajaan sedang bergerak ke arah “haluan yang betul”.