Terengganu siasat dakwaan tanah kerajaan dijual kepada Vincent Tan, kata MB

Terengganu siasat dakwaan tanah kerajaan dijual kepada Vincent Tan, kata MB

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penjualan tanah milik kerajaan adalah isu besar dan siasatan terperinci berhubung perkara itu akan dijalankan.

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan menyiasat dakwaan mengatakan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said menggadai tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada Vincent Tan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu akan menyiasat dakwaan berhubung penyerahan tanah milik kerajaan di Pulau Redang, dekat Kuala Terengganu, kepada taikun Vincent Tan.

Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjualan tanah milik kerajaan adalah isu besar dan siasatan terperinci berhubung perkara itu akan dijalankan.

“Rekod itu boleh ‘check’ (semak), tanah itu daripada mana, diambil, dibeli dan sebagainya. Semua itu ada dalam rekod tetapi kita tak ‘go thru’ (menelitinya) lagi (dan) saya difahamkan telah dilapor kepada polis.

“Jadi biar polis menjalankan siasatan (dan) kita pun nak tahu juga keadaan sebenarnya bagaimana, sebab jarang kerajaan jual tanah ini…kalau individu jual tanah (ia) memang berlaku,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Menerusi hantaran di Facebook sebelum ini, seorang individu mendakwa bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said menggadai tanah milik kerajaan di Pulau Redang kepada Vincent.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal menafikan perkara itu dan memaklumkan bahawa beliau tidak pernah berjumpa dengan individu berkenaan sepanjang menjadi menteri besar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.