Pemimpin Bersatu Sabah gesa rundingan kerusi PRU15 antara GRS, BN

Pemimpin Bersatu Sabah gesa rundingan kerusi PRU15 antara GRS, BN

Pengarah Strategik dan Pilihan Raya Japlin Akim berkata rundingan penting bagi mengelak pertembungan antara dua sekutu kerajaan negeri itu pada PRU akan datang.

Japlin Akim (dua dari kiri) bersama Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan (tiga dari kiri) pada satu majlis di Kota Belud hari ini.
KOTA KINABALU:
Seorang pemimpin Bersatu Sabah mahu parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memulakan perbincangan mengenai agihan kerusi dengan Barisan Nasional (BN) negeri bagi mengelak pertembungan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Strategik dan Pilihan Raya Bersatu Sabah, Japlin Akim berkata rundingan itu penting kerana GRS kini merupakan gabungan berdaftar yang mempunyai BN sebagai rakan kongsi gabungan kerajaan negeri.

Japlin mengakui setiap parti mahu bertanding sebanyak mungkin kerusi, sama seperti Bersatu.

“Tetapi realitinya apabila tiba masanya, pemimpin parti komponen GRS dan BN mesti berunding mengenai kerusi yang mereka fikir boleh menang,” katanya kepada pemberita pada satu majlis di Kota Belud hari ini.

Japlin yang juga Ketua Bersatu Kota Belud berkata, pakatan GRS-BN bertujuan mewujudkan keadaan politik yang stabil di Sabah yang bersatu menentang pembangkang.

“Bagaimanapun, jika pertembungan berlaku, saya yakin pemimpin kita (Ketua Bersatu Sabah Hajiji Noor) akan bijak menyusun strategi,” katanya.

Selain Bersatu, GRS disertai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.