
Video berdurasi 1 minit 45 saat yang tular sejak semalam itu memaparkan seorang pensyarah mengherdik seorang pelajar lelaki kerana masih tidak memiliki komputer riba walaupun sudah memasuki Semester 5.
Warganet Iqbal Ahmad berkata, pendidik tidak wajar menghina dan merendah-rendahkan pelajar terbabit dengan menyentuh perihal keluarganya.
Tonton video di sini.
Katanya, sebagai tenaga pengajar, pensyarah itu seharusnya tidak menghina anak bangsa sendiri yang mahu berjaya, tanpa memberi dorongan dan sokongan kepada pelajar berkenaan.
“Jangan nak hina anak bangsa kita yang cuba untuk berjaya, tetapi tiada sokongan dan dorongan daripada pengajar sendiri. Jangan tahu merungut saja, ukur baju di badan sendiri, bukan merungut cakap tentang hal keluarga pelajar,” tulisnya.
Seorang lagi warganet Ishamudin Abdullah pula berpendapat, sebagai tenaga pengajar, pensyarah berkenaan seharusnya membantu pelajar berkenaan, bukannya menghina individu berkenaan sebagai B40.
“Dah jadi Prof, tunjukkan simpati, jangan hina golongan B40, sepatutnya cari penyelesaian bantu pelajar,” katanya.
Pengguna Facebook, AQ Nir pula mengakui pelajaran sememangnya amat penting namun paling utama dalam hidup adalah “adab”.
“Memang pelajaran penting tetapi yang paling penting di dunia ini adalah adab. Tanda-tanda akhir zaman,” tulisnya.
Dalam pada kritikan yang dihamburkan kepada pendidik itu, ada juga warganet yang memihak kepada pensyarah berkenaan yang menegur pelajar terbabit namun mengakui bahasa yang digunakannya agak “kasar”.
“Prof ni bengang sebab pelajar dia dan Semester 5 masih tiada komputer tetapi bahasa Prof ni agak kasar dan tak perlulah nak sebut B40,” ujarnya.
Nina Rasyidah Moh Baharudin pula berkata, sebagai seorang pelajar B40 beliau akur terhadap keperluan komputer bagi memudahkan proses pembelajaran.
“Ni bukan salah Prof tu 100%. Aku B40 juga, pelajar universiti memang kena ada komputer. Habis macam mana nak siapkan ‘assignment’? Beli ‘second hand’ pun ok. Nasihat dia berguna cuma pedas,” akuinya.
Sementara itu, Mahasiswa PKR mendesak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti terbabit menjalankan siasatan terhadap ahli akademik itu.
“Sungguhpun kami beranggapan pensyarah itu mengherdik kerana keperluan kursus untuk memiliki komputer riba tetapi merendah-rendahkan pelajar tersebut setelah dia mengatakan keadaan keluarganya yang tidak berkemampuan tidak boleh diterima dan jelas bersikap angkuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Jurucakap KPT berkata, kementerian atau pihak universiti itu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.