Warisan tutup mulut mengenai kerjasama dengan PSB, pembentukan Perikatan Borneo

Warisan tutup mulut mengenai kerjasama dengan PSB, pembentukan Perikatan Borneo

Naib Presiden Warisan Junz Wong tidak mengesahkan atau menafikan bahawa partinya sedang berbincang dengan PSB, seperti didakwa Presidennya, Wong Soon Koh.

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) dilaporkan berkata, PSB dan Warisan telah bersetuju untuk bekerjasama dan membentuk Perikatan Borneo.
KOTA KINABALU:
Seorang pemimpin Warisan enggan mengulas laporan bahawa partinya dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) telah bersetuju secara prinsip untuk bekerjasama dan membentuk Perikatan Borneo.

Naib Presiden Warisan Junz Wong tidak mengesahkan atau menafikan bahawa partinya kini sedang berbincang dengan PSB, seperti didakwa Presidennya, Wong Soon Koh.

“Saya percaya mana-mana rakyat Borneo yang berfikiran munasabah, sama ada orang Sabah atau Sarawak tidak mempunyai masalah bekerjasama untuk agenda Borneo kecuali mereka yang berada di bawah arahan ketua mereka di Kuala Lumpur,” kata Ahli Parlimen Tanjung Aru itu.

Tonton video di sini.

Soon Koh yang dipetik dalam Borneo Post Online semalam berkata, PSB dan Warisan telah bersetuju untuk bekerjasama dalam mewujudkan Perikatan Borneo.

Presiden PSB itu bagaimanapun berkata, tiada tarikh yang ditetapkan untuk merasmikan pakatan itu.

Beliau berkata, kedua-dua parti masih berbincang dan mereka juga terbuka untuk menerima parti tempatan di Sarawak untuk menyertainya.

Sebelum ini dilaporkan bahawa PSB telah mencetuskan idea supaya semua parti pembangkang di Sabah dan Sarawak bekerjasama di bawah Perikatan Borneo untuk pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.