Selepas 5 tahun, saman balu PI Bala terhadap Deepak selesai

Selepas 5 tahun, saman balu PI Bala terhadap Deepak selesai

Guok Ngek Seong yang juga peguam kepada A Santamil Selvi berkata, kedua-dua pihak menyelesaikan kes itu atas terma yang kekal sulit.

Santamil Selvi mendakwa dia dan dua anaknya mengalami kerugian kewangan dan bukan kewangan berikutan pengasingan selama lima tahun ke India mulai Julai 2008.
KUALA LUMPUR:
Balu kepada penyiasat persendirian, P Balasubramaniam, A Santamil Selvi, yang memfailkan saman “kemudaratan disengajakan” lima tahun lalu dengan defendan tunggal yang juga ahli perniagaan Deepak Jaikishan telah diselesaikan.

Peguamnya, Guok Ngek Seong berkata, kedua-dua pihak menyelesaikan kes itu atas terma yang kekal sulit.

Perkembangan itu disampaikan peguam kepada Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh, yang kemudiannya membatalkan saman yang dijadualkan mengambil masa dua hari untuk perbicaraan.

Ketika dihubungi FMT, Deepak mengesahkan saman itu telah diselesaikan secara baik.

Santamil dan dua anaknya memfailkan saman terhadap bekas Perdana Menteri Najib Razak, isterinya, Rosmah Mansor, abang Najib, Nazim dan Johari, peguam Sunil Abraham, Cecil Abraham dan Arulampalam Mariampillai, Pesuruhjaya Sumpah, Zainal Abidin Muhayat dan Deepak.

Dia mendakwa sembilan orang yang dinamakan dalam saman itu telah melucutkan hak kehidupan normal keluarganya, dan mengakibatkan mereka kerugian kewangan dan bukan kewangan berikutan pengasingan selama lima tahun ke India mulai Julai 2008.

Balasubramaniam, lebih dikenali sebagai PI Bala, adalah saksi utama dalam perbicaraan dua anggota polis yang kemudiannya disabitkan bersalah membunuh Altantuya Shaariibuu, seorang warga Mongolia. Dia meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu selepas pulang dari India.

Pada Januari 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan bersama semua defendan untuk membatalkan saman Santamil.

Bagaimanapun, kecuali Deepak, defendan berjaya meminta Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2018.

Pada 2020, Santamil juga gagal dalam usaha terakhirnya untuk mengembalikan samannya terhadap lapan yang lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.