Saya buat laporan terhadap Shafee berhubung bayaran RM9.5 juta, kata pegawai SPRM

Saya buat laporan terhadap Shafee berhubung bayaran RM9.5 juta, kata pegawai SPRM

Mohamad Farid Jabar berkata dia membuat laporan itu pada 3 Sept 2018 supaya siasatan boleh dimulakan terhadap Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Shafee Abdullah mendepositkan RM9.5 juta yang diterima daripada Najib Razak ke dalam akaun peribadinya, kata seorang pegawai SPRM. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan pengubahan wang haram Muhammad Shafee Abdullah berjumlah RM9.5 juta bahawa dia membuat laporan SPRM untuk memulakan siasatan terhadap peguam itu.

Mohamad Farid Jabar berkata, dia membuat laporan itu pada 4 Sept 2018 supaya siasatan boleh dimulakan terhadap Shafee kerana menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Najib Razak.

Katanya, siasatan itu kemudiannya dijalankan di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (Amla).

“Fokus siasatan saya bertumpu kepada RM9.5 juta yang diterima antara 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014,” kata Farid.

“Dia (Shafee) berkata dia bertemu Datuk Seri Najib sebanyak dua kali, iaitu pada September 2013 dan Februari 2014 di pejabat perdana menteri.

“Datuk Seri Najib menyerahkan dua cek kepadanya yang berjumlah RM9.5 juta.”

Farid berkata, berdasarkan siasatan, RM9.5 juta itu tidak didepositkan ke dalam akaun firma guaman Shafee tetapi ke akaun peribadinya.

“Wang RM9.5 juta itu adalah yuran guaman Shafee kerana mewakili Barisan Nasional (BN) dalam 46 kes petisyen pilihan raya dari 2004 hingga 2006.

“Bayaran itu adalah pendapatan terakru dan boleh dicukai. Ia tidak dilaporkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

Katanya, berdasarkan rekod cukai, Shafee tidak mengisytiharkan RM9.5 juta itu dalam penyata cukai 2014 atau 2015.

Shafee dibicarakan atas empat dakwaan pengubahan wang haram membabitkan jumlah itu.

Pihak pendakwaan mendakwa dia telah melanggar Seksyen 4(1)(a) Amla dengan menerima hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang serta membuat kenyataan tidak tepat kepada LHDN bagi tahun taksiran 2013 dan 2014.

Terdahulu hari ini, mahkamah mendengar keterangan daripada bekas pegawai LHDN Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh, Syed Nasrul berkata, dia tidak merekodkan keterangan daripada Najib atau mana-mana wakil BN mengenai bayaran RM9.5 juta itu.

Katanya, LHDN juga memulakan siasatan sivil terhadap Shafee berhubung penerimaan wang itu.

“Saya tidak melihat perlunya untuk merekod keterangan mereka,” katanya sambil menambah standard pembuktian dalam kes sivil adalah lebih rendah berbanding kes jenayah.

Pendengaran di hadapan hakim Muhammad Jamil Hussin bersambung pada 27 April, dengan Harvinderjit melakukan pemeriksaan balas terhadap Farid.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.