
Sumber berkata, perintah reman selama empat hari terhadap suspek lelaki berusia 36 tahun dikeluarkan bermula hari ini hingga 1 April oleh Mahkamah Majistret Putrajaya.
“Suspek lelaki yang merupakan penasihat kanan sebuah syarikat dipercayai memberi suapan berjumlah RM5 juta sebagai balasan bagi syarikat bawah kawalannya mendapat geran projek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Kang Sai, mengesahkan tangkapan dan reman lelaki terbabit.
Beliau berkata, suspek ditahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
SPRM sebelum ini menahan reman sembilan individu termasuk seorang bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung nilai projek berjumlah RM85 juta membabitkan sebuah institut berkaitan automotif tempatan.
Difahamkan, tempoh reman individu bergelar Datuk itu dilanjutkan selama empat hari bermula esok hingga 2 April.