Isu tunggakan 5 bulan gaji pekerja pembersihan KPM selesai Jumaat ini

Isu tunggakan 5 bulan gaji pekerja pembersihan KPM selesai Jumaat ini

Pekerja pembersihan dari tiga syarikat kontraktor pembersihan sekolah sekitar Sabak Bernam mengadakan protes aman di hadapan bangunan Pejabat Perdana Menteri sejak 10.30 pagi.

Lebih 50 pekerja pembersihan daripada tiga syarikat kontraktor pembersihan sekolah sekitar Sabak Bernam mengadakan protes aman di hadapan bangunan Pejabat Perdana Menteri sejak 10.30 pagi tadi
PUTRAJAYA:
Isu tunggakan gaji melibatkan 53 pekerja pembersihan di 19 sekolah sekitar Sabak Bernam sejak Nov lalu akhirnya menemui titik noktah apabila Kementerian Pendidikan (KPM) berjanji untuk menyelesaikan isu berkenaan selewat-lewatnya Jumaat ini.

Wakil pekerja, Normah Abu Hassan berkata, dalam perbincangan awal pihak kerajaan meminta tempoh sehingga minggu depan namun kumpulan pekerja mendesak agar tunggakan gaji sekurang-kurangnya bagi empat bulan dibayar pada Jumaat ini memandangkan Ramadan sudah semakin hampir.

“Perbincangan antara pegawai KPM dan pegawai Pejabat Perdana Menteri meminta masa seminggu (sehingga minggu depan) untuk selesaikan tetapi kami desak supaya paling tidak KPM selesaikan dahulu Jumaat ini.

Tonton video di sini.

“Jadi mereka beri kata putus (untuk bayar) selewat-lewatnya pada Jumaat,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan memorandum tuntutan tunggakan gaji di hadapan Pejabat Perdana Menteri di sini.

Terdahulu, lebih 50 pekerja pembersihan daripada tiga syarikat kontraktor pembersihan sekolah sekitar Sabak Bernam mengadakan protes aman di hadapan bangunan Pejabat Perdana Menteri sejak 10.30 pagi.

Mereka membawa beberapa sepanduk antaranya dengan slogan “Mana cuti tahunan kami”; “Tunaikan kenaikan gaji kami”; “Kami tuntut caruman KWSP”.

Sementara itu, pekerja Osman Uton, 46, berkata, sepanjang lima bulan bekerja tanpa gaji, beliau terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi penghantar barang selepas habis waktu kerja di sekolah bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Malah katanya, beliau terpaksa meminjam dengan rakan-rakan dan saudara-mara bagi menampung perbelanjaan anak-anak yang masih bersekolah malah ada rakan lain yang terpaksa meminjam dengan guru sekolah.

“Habis sahaja kerja (membersihkan kawasan sekolah), saya kerja lagi separuh masa hantar barang, buat macam-macam kerja janji dapat beri makan anak-anak,” katanya.

Mengenai tuntutan agar kontraktor berkenaan ditamatkan kontrak, Normah berkata, KPM meminta tempoh sehingga dua minggu untuk meneliti segala maklumat sebelum membuat sebarang keputusan sama ada meneruskan atau membatalkan tender syarikat berkenaan.

Antara syarikat yang didakwa bermasalah adalah As Rezeki Resources dan Panggilan Efektif Enterprise yang mendapat kontrak perkhidmatan kebersihan bangunan dan kawasan.

Sementara itu, penyelaras Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan, Danial Hakeem berkata, kumpulan pekerja berkenaan sanggup datang dari Sabak Bernam ke Putrajaya kerana tiada tindakan susulan diambil walaupun sudah mengajukan masalah itu kepada KPM sejak Januari lalu.

Katanya, tuntutan tunggakan gaji itu juga sudah difailkan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan perbicaraan di Mahkamah Pejabat Buruh Kuala Selangor sepatutnya berlangsung esok namun dimaklumkan ia ditangguhkan ke 4 April depan.

“Kerana tak tahan dengan tekanan kewangan… kami tulis kepada KPM untuk buat temu janji pada 4 mac tetapi tidak dapat. KPM cuba cuci tangan dan dakwa tiada kuasa untuk isu ini walaupun KPM badan besar yang lantik syarikat (kontraktor pembersihan) yang jadi majikan mereka.

“Sekarang dan lebih empat bulan tertunggak, Ramadan pun bakal tiba jadi pekerja ambil keputusan untuk berkampung di sini untuk selesaikan tuntutan,” katanya.

Dalam pada itu, Danial berkata, lebih memeritkan apabila majikan tidak pernah mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pekerja berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.