
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Ibrisam Abd Rahman berkata, antara alternatif hukuman dalam komuniti adalah menerusi perintah kehadiran wajib (PKW) dengan lebih 96% daripada 6,594 pesalah patuh kepada peraturan itu.
“KDN (Kementerian Dalam Negeri) komited untuk melaksanakan alternatif hukuman pemenjaraan dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan PKW bacaan kali pertama pada Disember 2021 dan jangka diluluskan dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung.
“RUU ini akan membolehkan mahkamah memerintahkan hukuman alternatif pemenjaraan terhadap pesalah dengan mengambil kira kesalahan kali pertama dan hukuman tiga tahun ke bawah atau mana-mana kesalahan yang layak bagi tempoh maksimum 12 bulan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Ibrisam berkata, banduan yang layak menjalani hukuman pemulihan dalam komuniti akan terus diberi perhatian oleh kerajaan.
“Dijangkakan seramai 10,000 banduan yang layak akan menjalani program seperti sistem parol, pelepasan banduan secara lesen dan program reintegrasi penghuni,” katanya.
Beliau berkata, dianggarkan sejumlah 80% banduan terbabit akan ditempatkan dalam industri dan seterusnya mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.
“Melalui program ini juga kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta,” katanya.