Halang hak perundangan Loh adalah penghinaan kepada mahkamah, kata peguam

Halang hak perundangan Loh adalah penghinaan kepada mahkamah, kata peguam

Peguam Loh Siew Hong berkata pihak terbabit perlu meletakkan keyakinan terhadap sistem kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian antara pihak berkaitan secara baik.

Peguam Loh Siew Hong menyelar apa jua bentuk ugutan, tekanan dan kempen fitnah dibuat sesetengah pihak yang ditujukan kepada anak guam mereka.
PETALING JAYA:
Sebarang percubaan untuk menghentikan permohonan seorang ibu tunggal untuk membatalkan penukaran agama tiga anaknya boleh dianggap sebagai usaha mencampuri urusan perundangan dan menghina mahkamah, kata peguam kepada Loh Siew Hong, hari ini.

Peguam yang mengetuai pasukan guaman Loh, A Srimurugan juga menyelar apa jua bentuk ugutan, tekanan dan kempen fitnah dibuat sesetengah pihak yang ditujukan kepada anak guam mereka.

“Kami menggesa semua pihak tidak melakukan sebarang kenyataan berhubung kes berkenaan kerana ia mampu mencetuskan kebencian, termasuk mencetuskan ketegangan tidak diingini membabitkan pelbagai kaum di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Tonton video di sini.

“Walaupun kami menghormati hak kebebasan untuk berucap dan bersuara bagi setiap rakyat negara ini, namun kami menggesa tokoh agama tidak mengeluarkan apa jua video atau membuat sebarang bentuk ulasan berhubung kes ini atau terhadap Loh Siew Hong,” katanya.

Srimurugan berkata, perkara itu sedang dibicarakan di mahkamah dan berharap ia tidak dipolitikkan, termasuk membenarkan proses perundangan berjalan.

“Kami percaya kepada proses perundangan dan kami meletakkan keyakinan terhadap sistem kehakiman bagi menyelesaikan pertikaian antara pihak terbabit secara baik,” katanya.

Srimurugan berkata demikian sebagai mengulas peringatan daripada PAS hari ini yang memberi amaran berhubung percubaan untuk membatalkan pengislaman anak-anak Loh.

Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata, keislaman anak-anak Loh adalah atas dasar kefahaman, kesedaran dan kerelaan mereka sebagai manusia yang merdeka hasil daripada pengajian serta pendidikan Islam yang dilalui.

Khairil berkata, keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini untuk menyerahkan tiga anak itu kepada Loh hanyalah melibatkan hak penjagaan dan tidak menyentuh isu agama, apatah lagi memerintahkan atau membenarkan anak-anak tersebut meninggalkan Islam.

Beliau juga menyeru semua ahli politik, cendekiawan, mufti, pendakwah, NGO serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam supaya bersatu dan senada dalam isu keselamatan akidah anak-anak wanita itu, yang masing-masing membabitkan kembar perempuan berusia 14 tahun dan anak lelakinya, 10 tahun.

Bulan lalu, Loh mendapat hak penjagaan anak-anaknya daripada pihak berkuasa agama Perlis.

Minggu lalu, wanita itu memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pengisytiharan pengislaman tiga anaknya itu yang dilakukan bekas suaminya sebagai tidak sah.

Loh juga memohon pengisytiharaan berhubung peruntukan enakmen Perlis yang membenarkan ibu atau bapa menukar agama anak mereka di bawah umur secara unilateral sebagai tidak berperlembagaan.

Dia juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pendaftaran penukaran agama itu bertarikh 7 Julai 2020 yang dikeluarkan oleh pendaftar.

Loh menamakan Bahagian Pendaftaran mualaf, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mufti Perlis Asri Zainul Abidin dan kerajaan Perlis sebagai responden.

Peguamnya berkata, anak guam mereka mengambil keputusan untuk bertindak ke atas MAIPs selepas agensi itu memohon untuk mencelah dalam petisyen penceraian bagi mengekalkan akidah Islam tiga anaknya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.