
Perkara itu didedahkan oleh peguam keluarga Jenkins, Raveentharan Subramaniam yang berkata, Anna telah menghubungi telefon bimbit Francis pada 13 Dis 2017, hari ketika dia dilaporkan hilang.
Polis sebelum ini tidak pernah mendedahkan bahawa Francis membuat laporan sedemikian.
“FIR (laporan maklumat pertama) polis adalah jelas mendiang Puan Jenkins telah ditangkap atau ditahan bukan atas kehendaknya oleh dua warga Ukraine.
“Kemungkinan tebusan ialah pasport antarabangsanya,” kata Raveentharan dalam ucapan pembukaannya kepada mahkamah.
Dia bertanya sama ada polis telah menyiasat nombor telefon yang digunakan oleh Anna dalam panggilan kecemasannya dan sama ada mereka telah menyiasat laporan Francis.
“Siapakah pemilik talian tetap 04-31232617? Adakah beliau seorang yang baik hati yang membenarkan mendiang Puan Jenkins menggunakan telefon semasa dia dalam kesusahan?
“Kata-kata terakhirnya kepada suaminya ialah dia mahu pulang ke hotel.
“Tiada isu mengenai seorang yang berusia 65 tahun, bekas rakyat Malaysia yang sudah biasa dengan Pulau Pinang, hilang secara tiba-tiba? Adakah bukti penting ini pernah disiasat?” soal Raveentharan.
Raveentharan berkata, adalah sesuatu yang mengejutkan bahawa pada sijil kematian Anna, tarikh dan masa kematiannya dilaporkan pada jam 4 petang 24 Jun 2020, iaitu ketika mayatnya ditemui.
Pengarah Pendakwaan Negeri, Khairul Anuar Abdul Halim bagaimanapun membantah kenyataan Raveentharan dan mengingatkannya bahawa ini adalah Mahkamah Koroner, bukan perbicaraan jenayah biasa.
Khairul berkata, semua perkara yang dibangkitkannya akan disentuh ketika inkues.
“Dengan memberikan kenyataan sedemikian, anda memberi tanggapan yang salah. Anda akan diberi peluang sebagai peguam pemerhati untuk bertanyakan soalan.
“Kami di sini berada dalam pasukan yang sama dalam usaha untuk mengetahui keadaan di sebalik kematian Anna. Kami bukan musuh,” katanya.
Koroner Norsalha Hamzah bersetuju dan mengarahkan Khairul meneruskan ucapan pembukaannya.
Anna, 65, anak kelahiran Parit Buntar, berada di Pulau Pinang untuk percutian singkat bersama Frank pada Disember 2017 sebelum dia dilaporkan hilang.
Mayatnya ditemui di tapak pembinaan di Batu Gantong di sini pada Jun, 2020, kira-kira 3km dari tempat dia kali terakhir dilihat turun dengan menaiki kenderaan Uber.