Sijil vaksinasi bukan ‘dihilangkan’, hanya bertukar status tak lengkap, jelas KKM

Sijil vaksinasi bukan ‘dihilangkan’, hanya bertukar status tak lengkap, jelas KKM

Ia melibatkan dua kumpulan iaitu penerima Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin primer berusia 60 tahun dan ke atas yang belum menerima dos penggalak.

Tangkap layar mesej tular yang mendakwa bermula minggu depan kerajaan akan menghilangkan sijil digital dua juta individu sudah divaksin yang belum menerima dos ketiga. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan (KKM) sekali lagi menegaskan status vaksinasi Covid-19 hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap, bukan “dihilangkan” seperti tular di media sosial.

“KKM ingin memaklumkan bahawa mesej yang tular di media sosial ini adalah palsu,” kata kementerian itu di Facebook.

“(Status vaksinasi mereka) hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap dan bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut.”

Tonton video di sini.

KKM berkata, dua kumpulan yang terlibat adalah penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin primer berusia 60 tahun dan ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak.

Mesej tular itu menyebut, “Minggu depan kerajaan akan hilangkan sijil digital dua juta individu yang sudah divaksin namun enggan menerima dos ketiga.

“Sila tangkap layar sijil digital dan maklumat mengenai dos penggalak di aplikasi MySejahtera anda sekarang dan simpan.”

Pada 24 Mac, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, kira-kira dua juta rakyat Malaysia dijangka kehilangan status “divaksin sepenuhnya” di aplikasi MySejahtera mulai 1 Apr.

Angka unjuran ini melibatkan penerima vaksin Sinovac berumur 18 tahun ke atas dan warga emas 60 tahun ke atas yang gagal mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum akhir bulan ini.

“Mengikut unjuran kita untuk seminggu lagi, KKM unjurkan bahawa mungkin akan ada dua juta penerima vaksin Sinovac yang berisiko untuk hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 Apr,” katanya.

Kerajaan sebelum ini melanjutkan tempoh akhir untuk mendapatkan dos penggalak kepada 31 Mac berbanding tempoh asal yang ditetapkan pada 28 Feb.

Sekiranya gagal berbuat demikian, status vaksinasi mereka akan bertukar kepada tidak lengkap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.