Rogol murid 12 tahun, bekas guru dipenjara 30 tahun, 2 sebatan

Rogol murid 12 tahun, bekas guru dipenjara 30 tahun, 2 sebatan

Mahkamah Rayuan memerintahkan Zalani Amit, 58, menjalani hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan.

Mahkamah Rayuan Putrajaya mendapati sabitan bagi tuduhan ketiga dan keempat selamat untuk dikekalkan, selepas berpuas hati rayuan Zalani Amit tiada merit. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang bekas guru diperintahkan menjalani hukuman penjara 30 tahun dan dua sebatan, selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengekalkan sabitannya atas dua kesalahan merogol seorang murid berusia 12 tahun di sebuah chalet di Papar, Sabah.

Guru sekolah rendah itu disabitkan bersalah pada 2017 kerana merogol kanak-kanak itu empat kali pada Ogos dan Oktober 2014.

Zalani Amit, 58, diperintahkan menjalani hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan, dengan hukuman berkuat kuasa secara berturut-turut.

Kosmo melaporkan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara membuat keputusan itu, selepas membenarkan rayuan akhir lelaki itu terhadap hukuman.

Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan Zalani terhadap sabitan kerana mendapati sabitan bagi tuduhan ketiga dan keempat selamat dikekalkan, selepas berpuas hati rayuannya tiada merit.

Ketika prosiding dalam talian itu, rayuan silang pendakwa raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Zalani daripada dua lagi tuduhan merogol mangsa sama turut ditolak panel itu.

Karim ketika membacakan keputusan itu berkata, Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dalam keputusannya yang membolehkan panel itu campur tangan dan mengubahnya.

Zalani diwakili peguam Ram Singh dan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraf Zubir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.