PM terima surat komitmen pelaburan bernilai USD360 juta dari syarikat Qatar

PM terima surat komitmen pelaburan bernilai USD360 juta dari syarikat Qatar

Surat komitmen itu disampaikan sendiri oleh pengerusi syarikat Ahmed Hussain Al-Khalaf pada majlis ringkas melawat ladang Agrico Qatar.

Ismail Sabri kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar turut melawat pusat pengeluaran susu lembu Holstein berkualiti Baladna, menggunakan teknologi perahan ‘rotary’ terkini. (Gambar Bernama)
DOHA:
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob hari ini menerima surat komitmen untuk pelaburan berjumlah USD360 juta dari Agrico Qatar.

Surat komitmen itu disampaikan sendiri oleh pengerusi syarikat itu, Ahmed Hussain Al-Khalaf pada majlis ringkas melawat ladang sayuran organik, cendawan dan udang milik Agrico di Al Khor, kira-kira 50 kilometer di utara Doha.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kerja Raya, Arthur Joseph Kurup dan Pengerusi FELDA, Idris Jusoh.

Terdahulu, Perdana Menteri dan delegasi Malaysia melawat Ladang Baladna milik Baladna Food Industries.

Ketibaan beliau disambut Pengerusi Kumpulan Baladna Food Industries Moutaz Al-Khayyat dan Pengarah Urusannya Ramez Al-Khayyat.

Perdana Menteri turut diberikan taklimat mengenai syarikat itu oleh ahli lembaga bebasnya, Aidan Tynan.

Perdana Menteri dan delegasi Malaysia juga telah dibawa melawat pusat pengeluaran susu lembu Holstein berkualiti Baladna, yang menggunakan teknologi perahan ‘rotary’ terkini.

Hadir sama, Menteri Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Qatar, Sheikh Dr Faleh bin Nasser bin Ahmad Al-Thani.

Perdana Menteri kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Qatar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.