Persenda OKU, hukuman khidmat masyarakat 100-150 hari diteliti

Persenda OKU, hukuman khidmat masyarakat 100-150 hari diteliti

Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, cadangan itu sesuai dilaksanakan kerana program khidmat masyarakat menggariskan tiga elemen utama, iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan.

Kerajaan memandang serius insiden mendiskriminasi OKU, terutama melalui media sosial, namun remedi dan penalti munasabah memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneliti cadangan hukuman 100 hingga 150 hari program khidmat masyarakat dikenakan kepada mereka yang mempersenda golongan orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Menterinya, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, KPWKM berpandangan cadangan itu sesuai dilaksanakan kerana program khidmat masyarakat menggariskan tiga elemen utama, iaitu hukuman, pemulihan dan penginsafan.

“Kementerian akan meneliti lebih lanjut cadangan tersebut dalam proses semakan Akta OKU 2008,” katanya semasa menggulung perbahasan Titah Diraja bagi kementerian itu di sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata, KPWKM memandang serius insiden mendiskriminasi OKU, terutama melalui penularan dalam media sosial, namun remedi dan penalti munasabah bagi menangani isu itu memerlukan penelitian lanjut dari aspek perundangan.

Katanya, bagi menangani perlakuan jenayah itu, undang-undang yang terpakai di Malaysia kini adalah mengikut Seksyen 233 (1)(a)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Bagi cadangan penubuhan Suruhanjaya OKU pula, Siti Zailah berkata, buat masa ini, sebarang bentuk aduan, rayuan dan petisyen berkaitan pelanggaran hak OKU boleh disalurkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan sistem perundangan lain yang sedia ada.

Menyentuh perkembangan status Pelan Tindakan OKU (PTOKU) 2016-2022 katanya, KPWKM sedang menganalisis pencapaian program dan tindakan yang ditetapkan dalam pelan itu berdasarkan maklum balas yang diterima daripada agensi peneraju bagi setiap program serta tindakan di bawah PTOKU.

“Dapatan analisis ini akan digunakan sebagai input untuk pembangunan pelan tindakan OKU baharu, selain libat urus membabitkan komuniti OKU, NGO, kementerian serta agensi yang akan diadakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.