
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, pengecualian itu bertujuan mengelakkan kesesakan di kedua-dua pintu masuk sempadan darat negara (Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar), jika pengembara tidak mempunyai baki mencukupi atau kad Touch ‘n Go masih sah.
“Setelah berbincang dengan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, saya bersetuju mengecualikan pembayaran RC kepada semua kenderaan pendaftaran Singapura berkaitan, yang akan memasuki Malaysia untuk tempoh 7 hari mulai 1 hingga 7 April ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tempoh itu hendaklah digunakan semua pemandu kenderaan pendaftaran Singapura memperbaharui atau mendapatkan kad Touch ‘n Go atau menambah nilai kad itu atau mendaftar dan memasang tag Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) pada kenderaan masing-masing.

“Mana-mana kenderaan pendaftaran Singapura yang telah berdaftar dan dipasang tag RFID VEP turut dikecualikan daripada pembayaran RC dalam tempoh sama.”
Katanya, keputusan itu turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lepas, dan rakyat Singapura tidak dapat memasuki Malaysia untuk menambah nilai kad Touch n’ Go, selain kad yang telah luput tempoh sah lakunya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan semua pengembara bahawa RC akan dikuatkuasakan semula mulai 8 April ini.
“Pengecualian ini kelak bukan sahaja akan membawa manfaat kepada semua rakyat Malaysia dan penduduk Johor, tetapi juga akan dinikmati warganegara Singapura dan lain-lain negara, yang akan mengembara ke Malaysia dan Johor susulan pembukaan sempadan negara kelak.”
Kedua-dua negara akan membenarkan semua pengembara yang lengkap vaksinasi merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau ujian Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan mulai 1 April ini.
Kebenaran ini terpakai kepada semua kategori pengembara dan penggunaan semua jenis mod pengangkutan darat, termasuk motosikal, motokar persendirian dan semua kelas kenderaan perkhidmatan awam rentas sempadan seperti bas henti-henti, bas ekspres, bas pelancongan, bas pekerja dan teksi rentas sempadan.