
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd (dahulu dikenali sebagai AirAsia Group Bhd), Tony Fernandes berkata, ia dianggap pencapaian luar biasa kerana dapat dilakukan tanpa sebarang sokongan kewangan daripada kerajaan.
Katanya, ia juga melibatkan jumlah yang besar berbanding syarikat penerbangan lain kerana AirAsia membawa kira-kira 90 juta penumpang sebelum penularan wabak Covid-19.
“Saya perlu menentukan sama ada AirAsia X atau AirAsia. AirAsia mengendalikan lebih 90% bayaran balik dan ia tidak menjadi isu kerana kami bertindak secara telus.
“Pelanggan kami memahami bahawa kami telah memberi sokongan walaupun wujud rungutan dan pihak media juga menimbulkan isu tersebut,” katanya dipetik Bernama pada pelancaran maya pelan “Super+” baharu AirAsia Super App.
Beliau berkata, syarikat penerbangan itu menyaksikan sokongan padu dan mencapai prestasi di luar jangkaan dalam kebanyakan pasaran domestik.
“(Lebih banyak) bayaran balik akan dilakukan apabila penerbangan disambung semula. Di Malaysia, mungkin dalam tempoh beberapa bulan dan Filipina dalam tempoh enam bulan.”
Katanya, pelanggan AirAsia X juga akan mendapat baucar apabila syarikat penerbangan itu memulakan semula operasi.
Mengenai pelan Super+, Fernandes berkata, ia adalah pas pertama yang menggabungkan penerbangan dan penghantaran makanan selama setahun dalam satu pakej yang disifatkannya setara Amazon Prime dan Netflix serta menggantikan semua pas tanpa had yang diperkenalkan sebelum ini.
Sementara itu, AirAsia Super App dalam kenyataan berkata, AirAsia menawarkan 200,000 Super+ langganan di Malaysia, Filipina, Indonesia dan Thailand untuk masa terhad mulai hari ini hingga 2 April.
Ia berkata, Super+ ialah perkhidmatan langganan tanpa had yang menawarkan penerbangan tanpa had dengan perlindungan insurans Covid-19 dan penghantaran makanan percuma selama setahun berbanding pas sebelumnya, iaitu penerbangan percuma tanpa had yang hanya meliputi tambang asas.