
Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Baxter Kisar, 32, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki yang berasal dari Sabah itu dipenjara enam bulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Baxter didakwa melakukan perbuatan itu terhadap A Krishnan, 38, di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Rampai Niaga, Sri Rampai, Wangsa Maju antara 5 pagi dan 5.45 pagi 18 Julai 2017, mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda dan sekiranya perbuatan itu menyebabkan kecederaan, maka boleh dipenjara sehingga 20 tahun.
Seramai 14 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula Oktober 2019.
Di mahkamah sama, jurujual kereta terpakai, M Manimaran, 36, dipenjara 10 tahun dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah menyebabkan kematian pelanggan restoran, P Logan Nathan yang ketika itu berusia 27 tahun.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula hari ini dan tertuduh juga perlu menjalani hukuman penjara enam bulan, jika gagal membayar denda itu.
Manimaran didakwa bersama dua lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Jalan Telawi 2, Bangsar di sini, pada 2.23 pagi 23 Mac 2010, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan didenda.
Terdahulu, peguam George Goh dan Ashok Kandiah masing-masing mewakili Baxter serta Manimaran memohon penggantungan hukuman penjara dan denda, memandangkan anak guam mereka akan merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
Ashok turut memohon hukuman ringan atas alasan Manimaran kesal kerana melibatkan diri dalam pergaduhan hanya untuk menolong rakannya dan dia memberi kerjasama baik kepada polis selama 10 tahun sejak ditangkap sehingga pertuduhan dikenakan terhadapnya, selain tidak mempunyai sabitan lampau.
Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Khaliq Nazeri membantah permohonan peguam atas alasan tidak wujud sebarang keadaan istimewa yang mewajarkan penggantungan kedua-dua hukuman itu dan anggapan tidak bersalah juga tidak lagi wujud memandangkan mahkamah mendapati kedua-dua tertuduh bersalah.
Mahkamah menolak permohonan penggantungan hukuman bagi kedua-dua kes itu.