
Ahli Parlimen Stampin yang juga Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata undang-undang sedia ada tidak memberi perlindungan mencukupi kepada pembeli rumah di Sarawak daripada eksploitasi pemaju berbanding pembeli rumah di Semenanjung Malaysia.
Beliau membuat gesaan itu dalam kenyataannya hari ini, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang menurutnya menyebabkan pembeli rumah di negeri itu terdedah kepada eksploitasi pemaju.
Dua hari lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan bagi SPA standard mengikut Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak, tarikh penyerahan rumah yang dibeli daripada pemaju akan dikira mulai tarikh SPA ditandatangani, bukannya dari tarikh yuran tempahan dibayar.
Keputusan itu, katanya, bertentangan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Januari tahun lalu di Semenanjung, di mana tarikh penyerahan dikira bermula dari yuran tempahan dikutip, bukannya tarikh SPA ditandatangani.
“Untuk menggambarkan kesan keputusan Mahkamah Persekutuan, ambil kes pemaju mengutip yuran tempahan daripada pembeli pada 1 Jan 2000, manakala perjanjian ditandatangani pada 1 April 2000.
“Tempoh 24 bulan untuk penyerahan kediaman yang diperuntukkan di bawah Ordinan Pembangunan Perumahan Sarawak, dikira bermula 1 April, bukannya 1 Jan. Ini bermakna, penalti atau ganti rugi cair untuk penyerahan lewat (dibayar kepada pembeli) akan dikira mulai 1 April.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan dibuat mengikut semangat melindungi pembeli daripada (eksploitasi) pemaju.”
Katanya, memandangkan undang-undang Sarawak yang mengawal selia SPA projek perumahan di negeri itu kurang disenangi pembeli rumah berbanding di Semenanjung, kerajaan negeri sepatutnya mengambil langkah segera meminda bahagian berkaitan dalam ordinan itu.