
Peguam hak keluarga dan kanak-kanak Goh Siu Lin berkata lelaki itu boleh mengalihkan wang mereka kepada aset lain apabila menjangkakan akaun itu akan dibekukan.
“Wang itu boleh dialihkan, tidak semestinya disimpan sebagai tunai dalam akaun bank tetapi ditukar kepada emas, saham atau hartanah. Membekukan akaun bank sahaja mungkin tidak semestinya berkesan,” katanya.
Menurutnya, negara lain seperti Britain juga menggunakan langkah lain seperti membatalkan kelayakan memandu atau menahan pasport mereka.
Beliau berkata terdapat keperluan bagi pihak berkuasa mengambil tindakan bagi memastikan pasangan yang ingkar menunaikan kewajipan undang-undang mereka terhadap isteri dan anak mereka.
Pembekuan bank akaun itu diumumkan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.
Bagaimanapun, Persatuan Peguam Muslim Malaysia berkata wang yang terhutang itu sebaliknya perlu dipotong daripada gaji lelaki dan dibayar kepada bekas isteri mereka.
Sementara itu, Syarifatul Adibah, pegawai kanan program daripada Sisters in Islam berkata rancangan untuk membekukan akaun bekas suami sudah lama dinantikan.
Katanya, kajian menunjukkan kegagalan memberi nafkah untuk anak dan isteri menjadi antara empat punca berlakunya perceraian.
“Tanpa sekatan yang berat, si bapa akan terus mengabaikan keperluan kewangan anak-anak mereka,” katanya.