Kos baharu ambil amah diumum bulan depan, kata timbalan menteri

Kos baharu ambil amah diumum bulan depan, kata timbalan menteri

Duta Besar Indonesia, Hermono dilaporkan berkata, kos pengambilan dihadkan kepada RM15,000 dan ia perlu ditanggung majikan di bawah perjanjian baharu.

Di bawah MoU lama yang tamat pada 2016, kos pengambilan pembantu rumah Indonesia ialah RM7,800, dengan majikan perlu membayar RM6,000 dan bakinya oleh pekerja.
PETALING JAYA:
Kos baharu pengambilan pembantu rumah dari Indonesia akan diumumkan selepas memorandum persefahaman (MoU) dimeterai bulan depan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim.

Katanya, kos RM7,800 yang dimaklumkan sebelum ini berdasarkan persetujuan Kumpulan Kerja Bersama Kesembilan pada September 2013 dalam MoU yang berakhir 2016.

“Itu adalah kos lama berdasarkan MoU yang sudah tamat pada 2016. Memorandum pekerja domestik Indonesia yang baharu dijadualkan ditandatangani kedua-dua negara (Malaysia-Indonesia) di Jakarta pada awal April ini.

“Jadi, struktur kos pengambilan domestik Indonesia akan diumumkan selepas MoU ini ditandatangani,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Awang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku kenaikan kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia atas beberapa faktor.

“Tidak semestinya naik dan tidak semestinya turun, kita akan semak semula dari semasa ke semasa,” katanya yang belum dapat menjangkakan sejauh mana peratusan kenaikan kos itu.

Pada 23 Mac lalu, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono dilaporkan berkata, kos mengambil pembantu rumah Indonesia dihadkan kepada RM15,000 dan ia perlu ditanggung majikan di bawah perjanjian baharu yang dijadualkan dimeterai bulan depan.

Pada hari sama, Awang memberitahu Dewan Rakyat, di bawah MoU lama, kos maksimum pengambilan pembantu rumah Indonesia ialah RM7,800, dengan majikan perlu membayar RM6,000 dan bakinya oleh pekerja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.