
Sharifah Zahidah Syed Noh mencadangkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menubuhkan unit itu untuk memantau dan membantu “menjernihkan” penggiat seni yang melampaui batas kerana hasil seni mereka akan mempengaruhi masyarakat.
“Mereka patut dipanggil melalui satu proses wajib kaunseling, beritahu sampai mereka sedar apa yang mereka buat itu salah. Sebab daripada cara mereka menjawab kepada media sekarang, cara Zul Ariffin jawab, Erma Fatima jawab, mereka tak nampak benda itu salah. Mereka anggap kita warganet yang menegur ini melebih-lebih. Lebih sudu daripada kuah.
Tonton video di sini.
“Jabatan khas ini akan menegur salah laku orang yang ada pengaruh di Malaysia (seperti) ‘influencers’, ‘content creator’, orang yang ramai pengikut di laman sosial sebab mereka ini pengaruh besar.

“Kita tak mahu letakkan di bawah undang-undang. Kerana prosesnya renyah dan undang-undang lebih kepada memutuskan atau menghakimi yang benar atau salah,” katanya kepada FMT.
Sharifah berkata, babak panas Zul dan Siti Hariesa bukan saja mendapat kecaman masyarakat Melayu, malah bangsa lain yang jernih pemikirannya turut menolak aksi “daring” seperti itu dalam industri seni negara.
“Di Barat pun, (tempat) orang kata sarang pembikinan filem lucah, mereka sendiri ada gerakan yang menentang industri filem yang melampau. Jadi bukan kita saja orang Melayu yang terlebih sensitif. Tidak.
“Sebenarnya, orang yang masih pegang nilai moral dalam diri, memang dia secara warasnya akan bangun menentang, tak kisahlah dia tu agama apa, bangsa apa. Asalkan pemikiran dia masih jernih dan tak terantai dengan benda tak bermoral ini,” katanya.
Bidas pengarah
Beliau turut membidas kenyataan pengarah drama 30 episod itu, Ain Sharif yang memberikan penjelasan bahawa babak panas itu adalah “director cut” dan mungkin tidak ditayangkan di televisyen.
“Bila kita tegur, dia akan kata beginilah jawapannya. Ini kita tak tayang. Ini adalah ‘cut’. Ini cuma untuk publisiti. Sebenarnya kita bukan nak tahu, itu untuk publisiti ke? Itu untuk promosi ke? Masalahnya sekarang, kita dah tahu benda itu tak elok, kenapa buat?.
“Jadilah ‘content creator’ bertanggungjawab dan mendidik masyarakat bukan merosakkan lagi masyarakat,” katanya.
Drama Perempuan Itu yang dikatakan bakal ditayangkan di TV3 sepanjang Ramadan ini berdepan kemungkinan tidak disiarkan, jika gagal memberikan laporan bertulis kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Selasa lalu, Zul hadir ke kementerian itu untuk disoal siasat mengenai tidakannya memuat naik sedutan babak panas berkenaan di media sosialnya.
Zul disiasat bawah Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Jika sabit kesalahan dia dan kru produksi berdepan hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda sehingga RM50,000 kerana menyiarkan kandungan menyinggung perasaan yang mengganggu orang lain.