Jangan lapor keputusan palsu Covid-19 demi ponteng kerja, KJ beri amaran

Jangan lapor keputusan palsu Covid-19 demi ponteng kerja, KJ beri amaran

Menteri Kesihatan berkata, tindakan melaporkan keputusan palsu ujian saringan Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab.

Khairy Jamaluddin memberi amaran tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap individu yang melaporkan keputusan palsu ujian kendiri Covid-19 dalam MySejahtera.
SEPANG:
Kementerian Kesihatan (KKM) boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didapati memalsukan keputusan kit saringan pantas (RTK) antigen dalam aplikasi MySejahtera, kata Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Bercakap selepas pelancaran MyChampion Peringkat Kebangsaan, Khairy berkata, tindakan melaporkan keputusan palsu ujian saringan Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, majikan boleh melaporkan kepada KKM, sekiranya mendapati pekerjanya melaporkan keputusan palsu.

“Sudah tentu kalau majikan nak semak, mungkin kalau dia (pekerja) nak tipu, nasib dia tak baik, majikan suruh buat RTK profesional, dia ‘kantoi’. Kita boleh ambil tindakan undang-undang. Jadi, jangan sampai kita terpaksa ambil tindakan undang-undang kerana salah lapor dalam MySejahtera yang menjadi kesalahan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan membenarkan masyarakat melaporkan ujian kendiri Covid-19 dalam MySejahtera tanpa perlu membuat ujian saringan profesional sebagai persediaan memasuki fasa peralihan ke endemik.

“Bila kita masuk fasa peralihan (endemik), kita kena banyak bergantung kepada solidariti komuniti dan kebertanggungjawaban individu. Takkan semua benda kerajaan nak periksa, kuat kuasa dan denda.

“Jadi, saya merayu kepada rakyat Malaysia, bila kita dah bagi tanggungjawab kepada anda untuk buat ujian kendiri mestilah jujur, jangan semata-mata nak ponteng kerja, pergi melaporkan keputusan positif yang palsu.”

Sementara itu, Khairy berkata, KKM tidak berkongsi data pengguna MySejahtera dengan mana-mana pihak.

“Buat masa ini, MySejahtera dimiliki KKM, termasuk segala data yang berada dalam aplikasi itu, tiada isu keselamatan data kerana ia dikendalikan KKM dan data itu tidak boleh digunakan untuk matlamat lain, selain memantau pandemik Covid-19.”

Mikroplastik

Khairy berkata, Malaysia mungkin menjalankan kajian sama ada plastik kini berada dalam sistem darah manusia seperti yang dilaporkan saintis dari Belanda.

“Saya terkejut bila baca dapatan tersebut daripada saintis di Belanda. Saya rasa perkara ini saya akan bangkitkan dengan Institut Penyelidikan Kesihatan Malaysia, mungkin kita juga boleh buat kajian tersebut di sini untuk melihat sama ada plastik sudah masuk dalam sistem darah kita.”

Semalam, media melaporkan kajian terbaharu mendedahkan penemuan pertama dan mengejutkan mikroplastik atau kepingan kecil plastik berdiameter kurang daripada 5mm dalam darah manusia.

Dalam kajian itu, saintis di Belanda mengambil sampel darah daripada 22 penderma dewasa yang sihat secara rawak dan analisis mendapati 17 daripada sukarelawan itu mempunyai mikroplastik dalam darah mereka.

Mikroplastik pernah ditemui dalam otak, usus, plasenta bayi yang belum lahir serta najis orang dewasa dan bayi, tetapi ini pertama kali ia dijumpai dalam darah manusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.