Tak hadir undi SOSMA kerana saya masuk hospital, kata Maria Chin

Tak hadir undi SOSMA kerana saya masuk hospital, kata Maria Chin

Ahli Parlimen Petaling Jaya itu bagaimanapun gembira usul melanjutkan penguatkuasaan satu subseksyen SOSMA tidak diluluskan Dewan Rakyat.

Maria Chin Abdullah berkata, tahanan masih boleh ditahan sehingga 14 hari sebelum dibawa ke mahkamah, walaupun tanpa Subseksyen 4(5) SOSMA.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah tidak dapat menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Rabu, yang menyaksikan satu usul berkaitan undang-undang kontroversi tidak diluluskan, kerana beliau dimasukkan ke hospital.

Ahli Parlimen PKR itu memberitahu FMT, beliau dimasukkan ke Hospital Beacon di Petaling Jaya kerana mengalami sesak nafas dan pening.

Ketiadaan Maria di Dewan Rakyat disedari kerana beliau, pada Selasa lalu, mengeluarkan kenyataan menggesa semua Ahli Parlimen pembangkang mengundi menentang usul untuk melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA selama lima tahun lagi mulai 31 Julai ini.

Subseksyen 4(5) SOSMA membolehkan polis menahan, tanpa bicara, seseorang yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan sehingga 28 hari bagi siasatan.

Maria yang pernah ditahan di bawah SOSMA pada 2016, sangat gembira usul kerajaan itu ditolak di Dewan Rakyat.

Tetapi, katanya, beliau lebih suka jika SOSMA dimansuhkan sama sekali.

“Ingatlah, kita tidak menghapuskan SOSMA, hanya bahagian yang mereka mahu lanjutkan peruntukan yang tamat secara automatik,” katanya merujuk subseksyen itu yang perlu dilanjutkan Parlimen setiap lima tahun.

“Walaupun tanpa subseksyen ini, tahanan masih boleh ditahan sehingga 14 hari sebelum dibawa ke mahkamah. SOSMA masih sebahagian daripada undang-undang kita,” katanya ketika dihubungi.

Rabu lalu, usul yang dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin itu ditolak selepas 86 Ahli Parlimen mengundi menentang dan 85 lagi menyokong. Baki 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

Selain Maria, beberapa menteri juga dilaporkan tidak hadir, termasuk menteri kanan Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein, Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Sumber Manusia M Saravanan serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Sementara itu, sumber memberitahu FMT bahawa Hishammuddin kini berada di luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.