Perak tegas tak akan bekal air mentah kepada Pulau Pinang, kata Saarani

Perak tegas tak akan bekal air mentah kepada Pulau Pinang, kata Saarani

Berdasarkan kepada kajian saintifik dijalankan oleh Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), penyaluran air mentah ke negeri lain akan memberi kesan kepada sektor pertanian, industri dan penjanaan tenaga elektrik.

Saarani Mohamad berkata, Perak dijangka menerima lebih banyak pelaburan baharu dengan pembukaan kilang seperti di Tanjung Malim dan Bagan Serai menyebabkan keperluan air dalam negeri meningkat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perak mengutamakan kepentingan penggunaan air penduduk negeri itu terlebih dahulu dan bertegas tidak akan membekal air mentah kepada Pulau Pinang, kata Menteri Besar Saarani Mohamad.

Saarani berkata, berdasarkan kajian saintifik yang dijalankan oleh Lembaga Air Perak (LAP), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), penyaluran air mentah ke negeri lain akan memberi kesan kepada sektor pertanian, industri dan penjanaan tenaga elektrik.

“Sebagai contoh, sekiranya bekalan air mentah di Sungai Perak disalurkan juga ke negeri lain, ia akan menyebabkan penyusutan paras air sungai dan seterusnya menjejaskan penternakan ikan sangkar di Parit, Kampung Gajah dan Teluk Intan.

“Selain itu, Perak dijangka menerima lebih banyak pelaburan baharu dengan pembukaan kilang seperti di Tanjung Malim dan Bagan Serai. Lagi banyak kilang dibuka, lagi banyak keperluan air terutama kilang berasaskan getah.

“Jadi, saya minta maaf, bukan kerana saya tidak bersimpati (dengan negeri lain dalam isu air) tetapi kita kena menyediakan bekalan air secukupnya untuk rakyat negeri Perak,” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun 2022 peringkat negeri Perak yang turut dihadiri Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid di pekarangan kem Briged Utara, Pasukan Gerakan Am di Ulu Kinta, dekat Ipoh, hari ini.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Ahmad Hamzah berkata, kerajaan persekutuan berharap isu pembekalan air di Pulau Pinang, Kedah dan Perak dapat diselesaikan dengan baik berikutan kajian menunjukkan bahawa negeri-negeri di utara Semenanjung akan mengalami masalah kekurangan bekalan air menjelang 2050.

Beliau berkata, ini adalah berdasarkan Kajian Sumber Air 2010-2050 (Perunding Zaaba 2008) yang merumuskan bahawa kawasan utara Semenanjung meliputi Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan dilanda kekurangan bekalan air yang ketara pada tahun tersebut.

Pada 3 Mac lepas, Saarani berkata, Perak tidak mampu membekalkan air mentah dari Sungai Perak seperti dicadangkan di bawah Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang kerana kajian menunjukkan kegunaan air bagi negeri itu sendiri tidak mencukupi sepenuhnya.

Saarani berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow dan delegasinya yang hadir pada pertemuan di Pejabat Menteri Besar, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, baru-baru ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.