Ng tak terlibat mesyuarat penting berhubung penipuan 1MDB, kata saksi pembelaan

Ng tak terlibat mesyuarat penting berhubung penipuan 1MDB, kata saksi pembelaan

Pasukan pembelaan Ng cuba menunjukkan Tim Leissner bertemu beberapa kali dengan Jho Low dan individu lain yang terlibat tanpa kehadiran Roger Ng.

Roger Ng dituduh berkomplot dengan bekas bosnya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low untuk menyelewengkan berbilion dolar dana 1MDB. (Gambar AP)
NEW YORK:
Bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Roger Ng, tidak menyertai semua mesyuarat antara pemain utama dalam penyelewengan dana 1MDB, menurut keterangan yang dikemukakan oleh pasukan pembelaannya.

Ng, satu-satunya pegawai bank Goldman yang dibicarakan berhubung skandal 1MDB, dituduh berkomplot dengan bekas bosnya, Tim Leissner, dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, untuk menyelewengkan berbilion dolar dana 1MDB.

Leissner, yang mengaku bersalah dan memberi keterangan terhadap Ng, berkata, dia mengumpul lebih USD60 juta wang sogokan daripada Low dan membayar Ng lebih USD35.1 juta.

Namun ketika peguam Ng mula membentangkan pembelaannya semalam, mereka cuba menunjukkan bahawa Leissner beberapa kali bertemu dengan Low dan individu lain yang terlibat tanpa kehadiran Ng.

“Jangan beritahu Roger tentang pertemuan kita dengan rakan itu,” kata Leissner dalam mesej BlackBerry kepada seorang lagi pegawai bank Goldman pada 2012 ketika beliau, Low dan Ng berada di Hong Kong selepas salah satu transaksi bon 1MDB diselesaikan.

Menurut rekod, tidak lama kemudian, satu akaun luar pesisir atas nama isteri Leissner membayar sogokan USD2 juta kepada seorang penasihat perdana menteri Malaysia ketika itu, Najib Razak.

Keesokan harinya, Low dan Leissner masing-masing terbang ke Las Vegas untuk menghadiri pesta gala hari jadi, menurut Katelyn Giesler, iaitu pembantu di firma guaman peguam bela Teny Geragos.

Walaupun Leissner disenaraikan sebagai tetamu dari Malaysia bagi acara anjuran Low itu, nama Ng tidak tersenarai, kata Giesler.

Ng juga tidak berada di atas kapal layar di Mediterranean yang disewa oleh Low pada Julai 2013 apabila dia menghadiahkan rantai berlian merah jambu 22 karat, yang dibeli dengan dana 1MDB, kepada isteri Najib, Rosmah Mansor, kata Giesler.

Ng juga tidak menyertai Leissner dan Najib untuk makan malam di Saint Tropez beberapa hari kemudian, katanya, selain mengatakan bahawa rekod menunjukkan dia juga tidak berada di Eropah pada masa itu.

Pihak pendakwaan merehatkan kesnya pada awal Khamis selepas saksi terakhir mereka, seorang ejen FBI, menunjukkan kepada juri beberapa e-mel dan rekod lain yang dikatakan membuktikan bahawa Ng bersubahat dengan Low.

Perbicaraan disambung semula pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.