
Ketua Polis Daerah Seremban, Nanda Maarof, berkata sebaliknya kertas siasatan berhubung insiden itu sudah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan hanya menunggu arahan pendakwaan.
“Polis tentunya sudah menjalankan siasatan menyeluruh yang mana kami turut mendapatkan bantuan forensik bagi siasatan yang lebih tepat.
“Kertas siasatan yang lengkap juga sudah dihantar kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan kami hanya menunggu arahan selanjutnya,” katanya menurut laporan Astro Awani.
Nanda berkata demikian sebagai mengulas dakwaan keluarga mangsa yang mendakwa bayi mereka dijerut, bukannya terjerut.
Menerusi hantaran di Facebook, bapa mangsa turut menyatakan ketidakpuasan hati susulan kes itu belum dituduh di mahkamah sehingga hari ini.
Mengulas lanjut Nanda berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan dibuat oleh keluarga mangsa.
Sebelum ini, dilaporkan seorang bayi maut selepas kepalanya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan kanak-kanak itu.
Dalam kejadian kira-kira 3 petang, mangsa sebelum itu ditidurkan dalam buaian oleh pengasuh dalam sebuah bilik, sebelum keluar bagi melakukan tugas lain selama kira-kira sejam.
Mangsa dimasukkan ke dalam buaian di sebuah bilik bersama dua lagi kanak-kanak lain, sebelum pengasuh mendapati leher serta kepala bayi malang itu terkeluar dan tergantung pada kain buaian.
Pengasuh cuba melakukan bantuan kecemasan pernafasan (CPR), namun mangsa gagal bernafas dan dia terus bertindak membawa bayi itu ke Klinik Kesihatan Sendayan.