Kegagalan usul SOSMA tak jejas sokongan kepada kerajaan, kata penganalisis

Kegagalan usul SOSMA tak jejas sokongan kepada kerajaan, kata penganalisis

Penganalisis berpendapat ia menunjukkan rasa tidak senang terhadap Menteri Dalam Negeri, bukan PM.

Kegagalan usul SOSMA menunjukkan rasa tidak senang terhadap menteri dalam negeri, bukan perdana menteri, menurut penganalisis.
PETALING JAYA:
Kegagalan kerajaan melanjutkan tempoh penguatkuasaan peruntukan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak akan memberi kesan buruk kepada perdana menteri dan pentadbirannya, menurut dua penganalisis politik.
James Chin.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania percaya ia “tidak akan menambah tekanan kepada Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan Parlimen”.

Beliau merujuk kepada desakan Umno agar pilihan raya umum (PRU) diadakan lebih awal berikutan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara untuk Penyelidikan Strategik berkata, kegagalan usul kerajaan itu tidak mewakili sokongan kepada perdana menteri ketika ini.

Semalam, usul Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin untuk melanjutkan kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA selama lima tahun lagi ditolak di Dewan Rakyat.

Seramai 86 Ahli Parlimen mengundi menentangnya, manakala 85 menyokong. Seramai 49 Ahli Parlimen tidak hadir.

Subseksyen itu membolehkan polis menahan suspek selama maksimum 28 hari tanpa bicara.

Pengkritik menyifatkan SOSMA sebagai undang-undang drakonian dan Chin mengakui popularitinya tidak meluas.

“Kerajaan sebenarnya tidak perlu SOSMA kerana terdapat banyak undang-undang lain yang boleh digunakan oleh polis,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan.

Azmi berpendapat, kegagalan usul itu menunjukkan rasa tidak senang terhadap menteri dalam negeri, bukan perdana menteri.

Katanya lagi, kegagalan 49 Ahli Parlimen menghadiri undian itu memberi gambaran buruk mengenai wakil rakyat secara amnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk Ahmad Zahid Hamidi, yang juga presiden Umno, dan bekas perdana menteri dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak adalah antara Ahli Parlimen yang tidak hadir.

Susulan undian itu, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa kerajaan menyemak semula memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Pakatan Harapan (PH) dengan melabelkan gabungan pembangkang itu sebagai “tidak boleh dipercayai”.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata, tindakan PH menolak usul itu pada dasarnya membatalkan MoU terbabit.

Bagaimanapun, menurut Chin dan Azmi, SOSMA tiada kena mengena dengan MoU itu.

Kata mereka, apa yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan MoU itu adalah pembentangan rang undang-undang (RUU) antilompat parti dan RUU untuk mengehadkan penggal jawatan perdana menteri.

Drakonian, namun bagus untuk memerangi kesalahan keselamatan

Seorang peguam berkata, SOSMA masih satu undang-undang yang bagus untuk memerangi kesalahan keselamatan, walaupun ia bersifat drakonian.

S Selvam berkata, walaupun usul itu kalah di Dewan Rakyat, polis masih boleh menggunakan undang-undang itu untuk memulakan siasatan tetapi atas alasan terhad.

Katanya, pegawai polis boleh menahan mana-mana individu yang dipercayai terlibat dalam kesalahan keselamatan selama 24 jam untuk siasatan seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 4(4) SOSMA.

“Polis boleh merekodkan keterangan daripada suspek semasa tempoh tahanan yang singkat itu dan mendakwa mereka pada hari berikutnya,” katanya.

Ini bermakna polis perlu mengumpul keterangan lain terlebih dahulu sebelum membuat tangkapan sebagai fasa terakhir proses siasatan, katanya.

Bagaimanapun, peguam T Harpal Singh berkata, tertuduh juga boleh dinafikan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Kenyataan suspek yang direkodkan semasa siasatan boleh diterima sebagai keterangan semasa perbicaraan,” katanya.

Tambahan katanya, SOSMA melindungi identiti saksi pendakwaan apabila mereka memberi keterangan.

Harpal berkata, pembentangan keterangan bawah SOSMA memudahkan pihak pendakwaan memperoleh sabitan terhadap tertuduh.

“Prosedur SOSMA menghina kedaulatan undang-undang dan perbicaraan adil bagi tertuduh,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.