Gaji minimum: Sesi libat urus bersama pertubuhan majikan bulan depan

Gaji minimum: Sesi libat urus bersama pertubuhan majikan bulan depan

Pertemuan akan membabitkan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam dan dewan perniagaan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim berkata, gaji minimum baharu itu dikenakan ke atas semua sektor termasuk pekerja di firma guaman, arkitek dan klinik swasta.
LABUAN:
Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan sesi libat urus bersama wakil pertubuhan majikan dan dewan perniagaan berhubung pelaksanaan dasar gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa 1 Mei ini.

Timbalan Menterinya Awang Hashim berkata, sesi libat urus itu akan diadakan pada bulan depan sebelum pelaksanaannya.

“Gaji minimum baharu itu akan mula dilaksanakan pada Hari Pekerja, iaitu 1 Mei ini dan masih ada masa untuk mengadakan sesi libat urus dengan wakil-wakil pertubuhan majikan.

“Kami akan babitkan Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan dewan perniagaan dalam sesi tersebut,” katanya pada sidang media selepas lawatan rasmi ke hab logistik bersepadu industri minyak dan gas Labuan di Asian Supply Base (ASB) di sini, hari ini.

Beliau yakin kadar gaji minimum RM1,500 dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Kita telah menempuh situasi yang tidak pernah kita hadapi sebelum ini seperti pandemik Covid-19 dengan kerajaan berusaha memperkenalkan beberapa pakej rangsangan dan skim bantuan kewangan (skim prihatin) untuk membantu majikan dan pekerja yang terjejas.

“Kerajaan bertanggungjawab ke atas pelaksanaan struktur gaji minimum baharu ini dan tidak akan membenarkan syarikat menghentikan operasi perniagaan mereka berikutan pelaksanaan itu, tetapi kita mesti rasional dengan situasi mereka yang berpendapatan rendah, yang terpaksa berdepan dengan kos sara hidup tinggi,” katanya.

Awang berkata, gaji minimum baharu itu dikenakan ke atas semua sektor termasuk pekerja di firma guaman, arkitek dan klinik swasta.

“Sektor profesional ini mempunyai hasil dan pulangan pelaburan (RoI) yang tinggi, oleh itu tidak wajar jika mereka memohon pengecualian daripada pelaksanaan gaji minimum baharu,” katanya.

Menurutnya, kementerian akan melaksanakan dasar itu secara berperingkat ke atas sektor terbabit, antaranya pelancongan, pertanian, perkhidmatan dan perladangan selari dengan pelaksanaan gaji minimum baharu itu.

Pada 19 Mac, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa kerajaan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 sebulan dan akan dilaksanakan di seluruh negara bagi syarikat-syarikat tertentu berkuat kuasa 1 Mei ini.

Beliau berkata, gaji minimum baharu akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat besar serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ismail mengumumkan demikian ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.