Dasar kabotaj kekal, pelaburan tak terjejas, kata Wee

Dasar kabotaj kekal, pelaburan tak terjejas, kata Wee

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata, lebih RM40 bilion pelaburan digital direkodkan tahun lepas.

Sebuah kapal Malaysia yang mampu melaksanakan kerja pembaikan kabel dasar laut.
PETALING JAYA:
Jemaah Menteri memutuskan untuk mengekalkan pembatalan pengecualian dasar kabotaj, kata Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

Dalam jawapan Parlimennya kepada Lim Guan Eng (PH-Bagan), Wee menegaskan bahawa keputusan kerajaan itu tidak menghalang aliran masuk pelaburan asing dalam industri digital, dengan memetik angka lebih RM40 bilion pelaburan digital direkodkan pada 2021.

Ini termasuk RM3.4 bilion dalam projek digital yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) dan projek lain bernilai RM39.6 bilion yang diluluskan secara dasar tetapi sedang menunggu formaliti proses kelulusan NCI.

Wee berkata, terdapat pelaburan digital berpotensi lain sedang dibincangkan dengan Putrajaya, terdiri daripada projek teknologi dan infrastruktur digital.

“Ini membuktikan bahawa pelaksanaan dasar kabotaj di Malaysia tidak menghalang kemasukan pelaburan asing dalam industri digital,” katanya.

“Untuk makluman, Jemaah Menteri pada Oktober 2021 telah bersetuju untuk mengekalkan pembatalan pengecualian dasar kabotaj bagi kapal asing yang melaksanakan kerja pembaikan kabel dasar laut.”

Beliau berkata, kapal asing masih dibenarkan melaksanakan kerja pembaikan dengan menunjukkan bahawa permohonan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) bagi kapal-kapal ini diluluskan dalam tempoh tiga hari.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) meluluskan pengecualian kabotaj yang membenarkan kapal asing melaksanakan kerja pembaikan dasar laut di luar pantai Malaysia.

Bagaimanapun, pada November 2020, menteri pengangkutan membatalkan pengecualian itu bagi pembaikan kabel dasar laut dan menolak dakwaan bahawa ia akan menjejaskan pelaburan.

Pada April tahun lepas, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin memberi amaran bahawa pembatalan pengecualian kabotaj mungkin akan menjauhkan pelabur berpotensi.

Wee dan Lim juga telah berdebat mengenai isu itu di saluran televisyen nasional.

Lim, yang baru dilantik sebagai pengerusi kebangsaan DAP, sebelum ini menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya mengembalikan semula pengecualian kabotaj bagi menggalakkan syarikat digital berteknologi tinggi seperti Facebook dan Google kembali ke Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.