BN tak pernah ketepi P Pinang, kata Najib

BN tak pernah ketepi P Pinang, kata Najib

Walaupun negeri itu ditadbir pembangkang bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan persekutuan BN sebelum ini melaksanakan dasar adil bagi semua.

Bekas perdana menteri Najib Razak berada di Pulau Pinang untuk lawatan dua hari. (Gambar Telegram Najib Razak)
GEORGE TOWN:
Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengetepikan Pulau Pinang selepas kehilangan negeri itu kepada Pakatan Harapan (PH), kata bekas perdana menteri Najib Razak hari ini.

Pada masa lalu katanya, kerajaan persekutuan BN mengurangkan hutang Pulau Pinang sebanyak 95% melalui penstrukturan semula dan memberi RM1.2 bilion untuk mengembangkan empangan dan membina jambatan kedua bagi memacu ekonomi di Seberang Perai.

“Untuk majukan Pulau Pinang, satu prinsip yang amat penting adalah kena ada hubungan yang rapat dengan kerajaan pusat.

Tonton video di sini.

“BN tak pernah ketepikan Pulau Pinang walaupun masa itu bawah pembangkang. Yang penting (adalah kami) melaksanakan dasar yang adil kepada semua,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Najib berkata, ramai rakyat Pulau Pinang menyedari bahawa mereka “tertipu” kerana banyak janji yang tidak ditunaikan oleh PH.

“Saya dapat lihat sudah ada kesedaran akan masa depan Pulau Pinang ini lebih terjamin kalau BN dapat memimpin,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang yang kedua hari ini.

Dalam ucaptamanya, Najib membincangkan rancangan penambakan Pulau Pinang, yang menurutnya “megah”, dengan berkata, ia tidak akan mendatangkan kebaikan kepada alam sekitar.

Katanya, padang rumput laut di Teluk Kumbar, di mana projek penambakan tiga pulau sedang dirancang, tidak dapat diganti kerana ia adalah tapak perikanan penting dan sumber protein bagi golongan berpendapatan rendah.

“Sekuriti makanan bukan sahaja melibatkan pemeliharaan sawah padi tetapi juga dalam memulihara pelbagai sumber makanan,” katanya.

Sementara itu, Najib menggalakkan orang Melayu belajar bahasa lain seperti Mandarin, Kantonis dan Hakka untuk meningkatkan hubungan perniagaan dengan China.

“Bagi orang Cina Malaysia, sudah tiba masanya mereka mahir dalam bahasa kepulauan Melayu supaya kita tidak terlepas Indonesia, wilayah pertumbuhan seterusnya di rantau ini.

“Pada masa sama, ia akan mengukuhkan integrasi dan perpaduan nasional.”

Dalam lawatan dua harinya ke Pulau Pinang, beliau dijangka menyantuni masyarakat Cina tempatan di pulau dan Seberang Perai, kemudian bertemu Jawatankuasa Perhubungan Umno negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.