Undang-undang pencegahan boleh diguna pakai kawal jenayah berat, kata peguam

Undang-undang pencegahan boleh diguna pakai kawal jenayah berat, kata peguam

Antara undang-undang lain yang boleh diguna pakai adalah Akta Pencegahan Jenayah, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan Akta Pencegahan Keganasan.

(Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Polis boleh mengguna pakai undang-undang lain untuk mengawal jenayah ganas dan terancang walaupun Dewan Rakyat memutuskan untuk tidak melanjutkan peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berhubung penahanan tanpa bicara, kata dua peguam.

Baljit Singh Sidhu berkata, adalah salah bagi ahli politik dan polis untuk mengatakan bahawa dengan pemansuhan peruntukan itu mulai 31 Julai, negara akan dikuasai penjenayah.

“SOSMA hanyalah prosedur penahanan dan perbicaraan, bukan statut kendiri,” katanya.

“Ia terikat dengan undang-undang keseksaan lain seperti Kanun Keseksaan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran.”

Beliau berkata, polis boleh bergantung kepada undang-undang pencegahan seperti Akta Pencegahan Jenayah, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) dan Akta Pencegahan Keganasan untuk mengawal peningkatan jenayah serius.

“Undang-undang ini boleh diguna pakai untuk memelihara keselamatan negara dan ketenteraman awam,” katanya kepada FMT sebagai respons kepada pendirian bekas ketua polis negara Musa Hassan bahawa negara akan terdedah kepada risiko keselamatan tanpa peruntukan SOSMA itu.

Ini susulan kegagalan kerajaan di Dewan Rakyat semalam untuk melanjutkan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) SOSMA selama lima tahun lagi bermula 31 Julai.

Subseksyen 4(5) membolehkan polis menahan individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan sehingga 28 hari tanpa bicara.

Baljit berkata, SOSMA adalah undang-undang prosedur drakonian kerana ia menghalang mahkamah daripada menawarkan ikat jamin kepada suspek yang didakwa melakukan jenayah berat.

“Kuasa ikat jamin mesti sentiasa diberikan kepada mahkamah,” katanya selain menambah bahawa tahanan ditempatkan di penjara sehingga rayuan mereka di Mahkamah Persekutuan selesai.

Malam tadi, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penyiasat juga akan menggunakan Kanun Prosedur Jenayah untuk menahan dan mereman suspek.

Polis boleh menahan suspek selama maksimum 14 hari dan selepas itu mereka mesti didakwa atau dibebaskan.

Peguam S Prekas berkata, undang-undang pencegahan membenarkan polis menahan suspek sehingga 60 hari untuk siasatan.

“Berdasarkan nasihat, lembaga atau menteri dalam negeri boleh mengarahkan suspek ditempatkan di pusat tahanan sehingga dua tahun atau dijadikan penghuni terhad antara dua hingga lima tahun,” katanya.

Prekas berkata, kegagalan untuk melanjutkan penggunaan SOSMA di Parlimen semalam dan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini untuk membebaskan mereka yang ditahan bawah undang-undang pencegahan hanya mendedahkan bahawa polis mesti meningkatkan kualiti siasatan mereka.

“Mereka mesti mengumpul keterangan yang boleh dipercayai dan hanya selepas itu menahan suspek bagi melengkapkan siasatan,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.